Ayam hilang selera makan kerana cuaca panas, dakwa persatuan. Cuaca panas dan kekurangan pekerja dikatakan antara faktor tumbesaran ayam yang tidak mencapai berat matang untuk dipasarkan sehingga memaksa kilang pengeluar ayam di Jasin, Melaka menutup sementara operasinya.
Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, yang mengesahkan perkara itu berkata, syarikat tersebut ada mengeluarkan memo kepada pihak berkenaan dan pelanggan memaklumkan penutupan selama dua hari.
Katanya, ia bukan masalah dihadapi di kilang itu sahaja malah semua penternak di negara ini turut mengalaminya, namun masing-masing terserah sama ada mahu mengikuti langkah itu atau meneruskan operasi seperti biasa.
“Berdasarkan memo dikeluarkan kilang berkenaan, mereka ada memberitahu semua dan pelanggannya untuk rehat dua hari sebab ayam lambat besar.
“Kalau tanya saya, kita semua (penternak) menghadapi masalah sama. Cuaca panas dan kemarau teruk membuatkan ayam kurang makan, tidak ada selera, ayam cepat letih dan banyak minum air.
“Sebab lain adalah kekurangan pekerja asing. Bila nak mohon pekerja asing sekarang kena ada sijil penginapan. Tempat penginapan di dekat ladang sudah lama hampir 20 hingga 30 tahun…mana ada CF (Sijil Perakuan Kelayakan). Itu sebab kita mohon pekerja asing baharu tak dapat,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas penutupan sementara sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin, Melaka pada hujung minggu ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semalam berkata, kementerian itu sudah menerima penjelasan syarikat pengeluar ayam terbabit bahawa tindakan itu bagi membolehkan ayam dihasilkan menepati saiz ditetapkan bagi dipasarkan.
Nanta Linggi menjelaskan, pihaknya dimaklumkan ketika ini berat ayam dihasilkan pada 1.1 kilogram (kg) dan mahu meningkatkan berat kepada 1.8 kg bagi mengelak masalah apabila ia memasuki pasaran.
Ada juga mendakwa, penutupan kilang pengeluar ayam itu berkaitan dengan tindakan sekumpulan kartel industri ternakan ayam yang merancang untuk menutup ladang ternakan pada hujung minggu ini, sebagai protes terhadap kerajaan yang dikatakan lambat membayar subsidi harga ayam.
Sementara itu, Jeffrey turut menafikan penutupan kilang pengeluaran ayam itu ada kaitan dengan tindakan mogok berhubung pemberian subsidi.
Katanya, apa pun yang berlaku, persatuan tidak pernah menggalakkan mana-mana syarikat untuk memberhentikan pengeluaran ayam yang berlangsung setiap hari.
“Kita tak ada mogok. Kita sentiasa berbincang dengan kerajaan. Situasi (penutupan kilang) itu adalah amalam biasa yang dilakukan pengurusan ladang untuk selesaikan isu ternakan atau tenaga kerja,” katanya.
BACA:
Lelaki ini cari sedang cari calon isteri yang boleh habiskan duit simpanannya
Johan sanggup tolong kereta rosak tepi jalan, “patutlah dia murah rezeki..”
Lelaki kongsi keadaan terkini taman tema Maps Ipoh, “dah macam bandar hantu..”