‘Avian Flu’ merebak, WHO minta semua pihak berwaspada tapi ‘Avian Flu’ ini apa?Ini penjelasannya.
BARU-baru ini, Kemboja merekodkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun akibat Avian flu atau H5N1 yang sekali gus mencatatkan kes maut pertama di negara itu
akibat virus berkenaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Berita mengenai kematian ini telah menggusarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meminta semua pihak berjaga-jaga selepas penyakit itu dikesan terhadap haiwan seperti burung, ayam dan itik.
Justeru, jangkitan terbaru itu adalah selesema burung ke-58 yang direkodkan di Kemboja selepas WHO menyatakan di peringkat global bahawa terdapat lebih daripada 450 kes sama sehingga segelintir kes menyebabkan kematian sejak 2003.
Apakah sebenarnya selesema burung
Selesema burung berlaku secara semula jadi di antara spesies burung liar yang hidup dan kemudian berhijrah serta menyebarkan virus ini kepada haiwan seperti ayam tempatan, musang, memerang, anjing laut atau beruang.
Jangkitan ini menyebabkan kebanyakan haiwan tersebut akan mati selepas dijangkiti wabak ini. Bagaimanapun, gejala-gejala sakit akibat virus berkenaan tidak dapat dikesan dalam kalangan burung-burung ini.
Difahamkan selesema burung hanya merebak di antara spesies burung, tetapi ada juga yang menjangkiti manusia menerusi beberapa faktor seperti melalui sentuhan dan cecair seperti najis haiwan.
Namun, terdapat banyak faktor lain bagi penularan wabak ini seperti membela ayam, pulang dari kawasan yang berpenyakit, sentuhan dengan burung disuntik, makan daging ayam atau telur tidak dimasak dengan baik, menjaga orang mendapat penyakit tersebut dan tinggal bersama individu dijangkiti virus.
Selesema burung merugikan pengeluaran negara
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), selesema burung di Amerika Syarikat (AS) saja telah menjejaskan hampir 60 juta burung termasuk hidupan liar dan ayam komersial.
Pada 2015, AS pernah mengalami kerugian sebanyak AS$3.3 juta (RM14.7 juta) walaupun dikatakan hanya membunuh sedikit ayam ternakan sahaja.
Jepun dilaporkan mengalami kekurangan telur ayam dan lonjakan harga akibat wabak selesema burung selain peningkatan kos makanan serta buruh.
Keadaan itu juga menyebabkan harga juadah istimewa dan popular di restoran Jepun turut meningkat.
Baru-baru ini, harga borong telur bersaiz sederhana di Tokyo ialah 335 yen (RM11.40) sekilogram, meningkat 81 peratus berbanding setahun lalu. Harga itu melebihi paras tertinggi sejak 1986 iaitu 280 yen (RM9.03).
Justeru, sejak wabak selesema burung melanda negara Asia Tenggara akhir tahun lalu, penternak ayam telah mengurangkan bilangan ayam telur susulan kenaikan harga makanan yang melambung tinggi sekali gus menyebabkan bekalan telur tidak stabil.
Wabak membawa risiko kepada manusia
Beberapa kes jangkitan telah dikesan sejak 1997 di Kemboja, Indonesia, Vietnam, Hong Kong dan China.
Bermula tahun 2020 hingga 2022, terdapat sembilan kes disahkan membabitkan jangkitan kepada manusia termasuk satu kes di AS dan satu lagi di United Kingdom.
Lazimnya, kes ini jarang berlaku kepada manusia dan apabila mereka bersentuhan dengan burung yang sakit, mereka mungkin mengalami beberapa gejala seperti selesema biasa, kadang-kala boleh membawa maut.
Pesakit positif virus ini hanya dapat disahkan menerusi ujian darah dan perlu dikuarantin.
Setakat ini, tidak ada vaksin yang mampu merawat selesema burung, namun beberapa usaha telah dijalankan sejak tahun 2005 untuk menghasilkan vaksin yang boleh menentang virus ini.
Walaupun kes membabitkan jangkitan selesema burung kepada manusia jarang berlaku, pengisytiharan darurat kesihatan di negara paling banyak merekodkan kes ini perlu dilakukan segera supaya negara lain dapat bertindak pantas serta membendungnya daripada menular.
BACA:
Tiada hujan tiada ribut senyap-senyap kahwin, Tahniah Azhan Rani dan Rita Rudaini