ATM, PDRM pamer aset terbesar dalam perarakan Hari Kebangsaan 2019

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempamerkan aset kekuatan mereka di hadapan kira-kira 500,000 orang pada perarakan sempena ulang tahun ke-62 Hari Kebangsaan di Putrajaya esok.

Bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”, sambutan itu melibatkan ketumbukan besar pasukan keselamatan negara melalui penyertaan 3,620 anggota lain-lain pangkat serta disokong 115 aset pertahanan utama iaitu darat, laut dan udara serta 68 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagi PDRM pula melibatkan penyertaan 1,700 anggota termasuk veteran PDRM serta disokong lebih 80 aset pelbagai guna untuk operasi.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM, selain perbarisan 3,620 anggota ATM, antara aset yang dipertontonkan kepada umum adalah empat kenderaan jenis G-Wagon dilengkapi sistem persenjataan Metis-M dan persenjataan Heavy Machine Gun dan empat kenderaan jenis Vamtac dilengkapi sistem persenjataan 12.7 milimeter Heavy Machine Gun serta 40 milimeter Automactic Grenade Launcher.

Turut dipertontonkan ialah dua sistem roket lancar berganda atau dikenali Astros II yang mampu menembak lima jenis roket dari caliber berbeza serta mampu mencecah jarak maksimum 89 km.

Turut menyertai perbarisan ialah dua kenderaan jenis Tactical Floating Bridge atau dikenali sebagai jambatan taktikal pontun yang mampu dipasang dan dibina dalam masa singkat, tiga trailer pembawa peluru pesawat tentera udara yang digunakan bagi membawa misil dan roket.

Seterusnya ialah empat kenderaan perisai gempita Infantry Fighting Vehicle dilengkapi dengan persenjataan Anti Tank Guided Weapon dan dua buah lipan bara lengkap bersenjata jenis Gatling Gun.

Bagi aset udara pula, lima pesawat EC 725 AP TUDM dari No 10 Skuadron Pangkalan Udara Kuantan, dua pesawat A109 Tentera Darat Malaysia, sebuah pesawat Fennec dan sebuah pesawat Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLMD) dari Markas Armada Barat Lumut.

Sementara itu, SAC Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Datuk Che Yussof Che Ngah berkata bagi aset pertahanan PDRM, sebanyak 86 kenderaan terlibat dalam perarakan itu antaranya motosikal berkuasa tinggi iaitu Unit Rondaan Bermotosikal, kenderaan peronda iaitu Mitsubishi Outlander atau dikenali sebagai helang polis.

Selain itu, aset laut iaitu jetski dan bot polis marin, kenderaan water cannon serta pesawat udara PDRM iaitu Eurocopter AS355 dan Agusta Westland 139.

Lebih 15,000 peserta terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019. Putrajaya pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005 dan tahun lepas (2018).

BERNAMA