Asas perjuangan PH untuk perubahan dan pemulihan institusi tetap kukuh – Mujahid

Asas perjuangan PH untuk perubahan dan pemulihan institusi tetap kukuh – Mujahid

Sesiapa sahaja calon yang menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) untuk jawatan Perdana Menteri tidak dapat lari daripada keperluan dan ketetapan agenda perubahan, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Bercakap dalam Dr Mujahid Rawa Channel yang dikongsikan di YouTube hari ini, beliau berkata, perubahan tersebut bukan hanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 tetapi dibina kekuatannya sejak Pakatan Rakyat dan sebelumnya Barisan Alternatif pada 1999.

Menurutnya, pimpinan PH berada dalam perjuangan yang panjang kerana mahukan perubahan termasuk pemulihan institusi.

“Oleh sebab itu, teras dan asas perjuangan kita masih tidak berubah kepada cita-cita ini,” ujarnya dalam slot bertajuk, “Solidkah Pakatan Harapan?” itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan asas yang kukuh dengan perjuangan yang jelas apa yang negara ini mahukan.

“Kita melaluinya dengan pelbagai kesukaran termasuk Anwar dengan jiwa penuh besarnya menempuh pelbagai kesusahan dan keperitan.

“Oleh itu, ayuh kita fokus apa yang perlu kita ambil dan sasaran kita. Ayuh kita fokus untuk membina semula asas-asas tertegaknya PH ini,” kata anak kepada Mursyidul Am Pas yang pertama, Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa.

Memulihkan negara

Sehubungan itu, Mujahid yakin PKR, AMANAH dan DAP sebagai teras PH bersama Warisan dan lain-lain akan terus membina cita-cita untuk mencapai kejayaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menyeru agar momentum sokongan kepada PH Plus dikekalkan bagi memulihkan negara.

“Tanpa kita lupa mandat yang dahulu pasti kita kena ambil balik. Kita satukan fokus kita. PN (Perikatan Nasional) semakin longgar dan semakin tidak menunjukkan cita-cita yang jelas,” ujarnya dalam rakaman video berdurasi lima minit itu.

Mengulas pentingnya mandat yang diperoleh PH pada PRU14 diambil kembali, Mujahid mengulang kembali pendirian Presiden AMANAH bahawa usaha tersebut bukannya kerana jawatan.

“Saya bersama semua pemimpin termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim secara jelas menyebut tidak timbul mahu lari dari mandat rakyat.

“Kita mahu mandat yang telah diambil seperti ditegaskan Presiden AMANAH bukannya soal ambil mandat untuk jawatan tetapi ambil mandat untuk kembalikan hak kepada berjuta pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.

Berita Penuh:

https://malaysiadateline.com/anwar-letak-asas-kukuh-dalam-perjuangan-kata-mujahid/

COMMENTS