Arahan berbeza antara kementerian timbulkan rasa tidak yakin komuniti perniagaan

Arahan berbeza antara kementerian timbulkan rasa tidak yakin komuniti perniagaan

Kerajaan digesa berhubung rapat dengan pihak industri bagi menetapkan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Penasihat Undang-Undang Industries Unite, Datuk David Gurupatham, sebagai contoh, pihak industri mahukan satu perancangan jelas yang boleh menjamin kepastian.

“Kami mahu lihat perancangan lebih baik, pelan hala tuju ke hadapan, ke mana kita akan tuju dalam masa sebulan, enam bulan dan tiga tahun? Apakah hala tuju dasar supaya perniagaan boleh merancang?

“Kami tidak bercakap soal sambungan PKP, sebaliknya apa perancangan pembukaan ekonomi? Jika mahu dibuka, bagaimana caranya? Adakah berperingkat? Adakah mengikut industri?.

“Bagaimana kita boleh tambah baik perdagangan kita? Adakah kerajaan akan bantu perniagaan berhubung dengan perniagaan luar untuk menambahbaik perdagangan?” katanya ketika di temu bual dalam program Niaga AWANI pada Khamis.

Tambah David, meskipun kumpulan itu menyokong penuh keselamatan awam, namun ekonomi tidak boleh terus ditutup, sebaliknya, tumpuan juga harus diberikan pada proses perkasakan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita tidak boleh terus menutup ekonomi. Setiap industri memerlukan SOP berbeza, sebagai contoh industri dandanan rambut dan peruncit berbeza.

“Apa yang kami mahu adalah berhubung dengan kami supaya kami dapat membantu kerajaan membangunkan SOP yang lebih baik dan berguna mengikut industri tertentu,” katanya lagi.

David dalam masa sama turut memuji Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang segera menghubungi Industries Unite sejurus selepas ia ditubuhkan tiga minggu lalu untuk berunding.

“Kami tidak bersikap konfrontasi dan politikal. Kami hanya mahu menjalankan perniagaan dan kami mahu berhubung.

“Masalah yang kami hadapi kini adalah semua kementerian berbeza seperti MITI, Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) serta MOF (Kementerian Kewangan) mempunyai arahan berbeza. Ini mewujudkan rasa tidak yakin komuniti perniagaan,” katanya.

Sementara itu Koordinator Kumpulan Industries Unite, Datuk Irwin Sw Cheong pula menjangkakan sambungan PKP 2.0 akan meningkatkan gangguan kepada perniagaan sehingga tahap 60 peratus.

“Ketika PKP 1.0, kadar pengangguran meningkat. Sejak itu sehingga PKP 2.0, peratusan gangguan (kepada perniagaan) adalah sekitar 30 ke 40 peratus.

“Sambungan PKP 2.0 ini, kami jangka sekitar 50 ke 60 peratus gangguan dan kadar pengangguran akan meningkat lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Industries Unite mengesa kerajaan menyambung moratorium pinjaman kepada perniagaan sehingga September selain memperkasakan lagi beberapa progran seperti subsidi upah.

Industries Unite merupakan satu gabungan yang dibentuk merangkumi perniagaan dari 40 industri untuk menyuarakan pandangan mereka serta berhubung dengan pihak berkepentingan bagi menyelesaikan tekanan ekonomi yang dihadapi perniagaan. –AA