Lagu terbaru dari penyanyi Korea ROSÉ dan Bruno Mars, “APT,” kini menjadi siulan ramai dan sering digunakan
sebagai latar bunyi di media sosial dalam pelbagai hantaran dan kandungan.
Tidak dinafikan, lagu ini mudah terngiang-ngiang di minda kita dan sering dimainkan ketika berada di dalam kenderaan atau di mana sahaja.
Namun begitu, Public Health Malaysia (PHM) telah tampil memberikan peringatan tentang liriknya yang dikhuatiri dapat memberi pengaruh negatif.
Antara bait lirik yang dinyanyikan oleh Rosé ialah: “Kissy face, kissy face / Sent to your phone, but / I’m tryna kiss your lips for real.”
Manakala Bruno Mars menambah: “Turn this apateu into a club / I’m talkin’ drink, dance, sm*ke, freak, party all night.”
Penggunaan istilah ‘APT’ atau ‘apartment’ sebagai simbolik tempat pertemuan dalam konteks menggoda ini dikatakan seolah-olah menormalisasi tingkah laku yang mungkin bertentangan dengan nilai budaya timur.
PHM menyatakan bahawa fenomena ini boleh membimbangkan, terutamanya apabila golongan muda menghafal lirik ini tanpa menyedari mesej tersirat yang disampaikan.
Oleh itu, sebagai ibu bapa, pendidik, dan anggota masyarakat, PHM menasihati agar kita semua lebih peka terhadap pengaruh budaya barat yang kini semakin diterima tanpa tapisan.
Namun begitu, mungkin terdapat interpretasi lain yang akan dipertahankan oleh peminat. Akhirnya, ia terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilainya.
BACA: Dengan penguatkuasaan sistem VEP, ini nilai hasil yang bakal kerajaan kaut dari rakyat Singapura