Apabila sudah berkuasa Rohingya pun diusir

Apabila sudah berkuasa Rohingya pun diusir

Dalam kapal itu ada 200 orang. Ada wanita dan kanak-kanak. Mereka ini ibarat orang hanyut. Mereka lari dari penderitaan di tanahair sendiri akibat perang dan penindasan. Mereka bergolok gadai. Ada yang menjual seluruh harta mereka untuk membina kehidupan di tempat baru.

Mereka sudah hampir dua bulan di lautan. Bekalan makanan mereka sudah tinggal sedikit. Mereka tiba di perairan Malaysia. Mereka mengharap belas ihsan saudara seaqidah di sini untuk bersimpati.

Tetapi mereka silap. Sebaik sampai di perairan Malaysia, mereka dihalau balik. Balik ke mana? Mereka tiada kad pengenalan diri untuk kembali ke tanahair. Kerakyatan mereka tidak diktiraf. Mereka akan terus hanyut di laut. Kiranya tiada yang membantu, mereka mungkin sahaja mati di atas kapal.

Kenapa kita tiada rasa simpati? Tiada rasa empati. Kita pentingkan diri. Kita mesti terus hidup, orang lain biar mati. Padahal, mereka solat mengadap qiblat yang sama.

Beberapa hari lepas pihak berkuasa Bangladesh baru sahaja menyelamat sebuah lagi kapal pelarian Rohingya yang juga sebelum ini dihalau balik oleh kerajaan Malaysia. Ada sekitar 400 orang di dalam kapal tersebut, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, sedang dalam kebuluran. Mereka dua kali mencuba untuk mendarat di Myanmar, tetapi dihalang oleh junta. Akhirnya mereka menjadi orang hanyut tanpa tujuan. Sebelum kapal itu diselamatkan, 38 orang dilapurkan telah mati di atas kapal dan mayat mereka terpaksa dicampak di laut.

Wabak Covid-19 bukan alasan untuk membiarkan 200 orang ini mati kelaparan di laut. Ada pelbagai cara yang boleh dibuat untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa malu dan mengecam tindakan zalim ini. Bolehkah kita tidur dengan aman setelah menghukum ratusan manusia lain untuk dibiarkan mati kebuluran di laut.

Lupakah kita, dulu kita pernah menyelamatkan orang hanyut dari Kemboja. Kenapa kali ini sikap kita tidak seperti dulu.

Apakah retorik Solidariti Rohingya yang dilaungkan sebelum ini cuma sandiwara politik? Di mana nilai kemanusiaan kita?

Tidak malukah kita dengan Itali. Dulu, ketika parlimen Itali sedang rancak berbahas tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah kebangkrapan negara, tiba-tiba dimaklumkan terdapat bot pelarian dari sebuah negara islam di Utara Afrika yang karam. Beratus-ratus orang perlu diselamatkan oleh pihak berkuasa Itali. Parlimen Itali pun menangguhkan perbahasan kewangan, dan segera meluluskan ketetapan supaya kerajaan Itali mengambil tanggungjawab penuh menyelamatkan mangsa bot karam tersebut dan menyediakan tempat tinggal dan makanan buat mereka.

Itu baru namanya kemanusiaan. Apakah kita tidak lagi punya kemanusian

Sumber :