Sebut sahaja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pasti ramai rakyat Malaysia yang mengenalinya sebagai tabung simpanan untuk persaraan.
Sebagaimana yang diketahui, KWSP ditubuhkan untuk membantu tenaga kerja Malaysia menabung bagi persaraan mereka,
selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.
Simpanan ini hanya boleh dikeluarkan oleh ahli apabila mereka mencapai umur 55 tahun atau lebih.
Walaupun penstrukturan akaun Fleksibel membolehkan pengeluaran wang pada bila-bila masa,
ia hanya merujuk kepada sejumlah wang tertentu dari keseluruhan simpanan dalam tabung tersebut.
Namun, mungkin ramai di antara kita yang tertanya-tanya, apa yang akan berlaku kepada duit simpanan KWSP jika ahli meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun?
Adakah wang tersebut akan dibekukan atau diberikan kepada saudara terdekat? Hal ini memandangkan Akaun 1 dan Akaun 2 hanya boleh dikeluarkan mengikut syarat-syarat tertentu.
Apa yang berlaku dengan duit KWSP jika ahli meninggal dunia?
Sebenarnya, jika ahli KWSP meninggal dunia, duit simpanan mereka boleh dikeluarkan melalui kaedah Pengeluaran Kematian.
Untuk mengetahui lebih lanjut, berikut adalah maklumat mengenai Pengeluaran Kematian KWSP.
Pengeluaran Kematian
Menurut KWSP, jika ahli meninggal dunia, simpanan KWSP akan menjadi jaminan kepada orang-orang tersayang dan boleh membantu meringankan beban kewangan serta menampung perbelanjaan pengurusan pengebumian.
Siapa yang boleh memohon?
Terdapat dua kategori bagi mereka yang boleh memohon Pengeluaran Kematian, iaitu Penama dan Tanpa Penama.
Penama
Sekiranya ahli telah menetapkan penama (pewaris) bersama pihak KWSP, penama boleh mengeluarkan keseluruhan jumlah yang ditetapkan atas nama mereka.
Bagaimanapun, penama mestilah berumur 18 tahun dan ke atas untuk layak membuat permohonan Pengeluaran Kematian.
Syarat Jika Penama Meninggal Dunia
Bagi ahli beragama Islam, penamaan akan terbatal jika penama tidak membuat permohonan dalam tempoh setahun selepas kematian ahli,
atau jika penama masih di bawah umur 18 tahun ketika kematian ahli. Jika penama meninggal dunia selepas ahli, waris terdekat ahli akan layak membuat permohonan pengeluaran.
Bagi ahli bukan Islam, jika penama meninggal dunia sebelum ahli, maka waris terdekat ahli akan layak membuat permohonan.
Jika penama meninggal dunia selepas kematian ahli, waris terdekat penama akan layak memohon Pengeluaran Kematian.
Jika ahli tidak menetapkan penama, akaun KWSP ahli masih sah untuk dimohon oleh pihak tertentu mengikut status perkahwinan ahli semasa kematian:
Ahli yang sudah berkahwin: Balu atau duda, anak-anak atau penjaga, ibu bapa ahli, pentadbir pusaka ahli.
Ahli yang belum berkahwin: Ibu bapa ahli, adik-beradik (jika ibu bapa telah meninggal), pentadbir pusaka ahli.
Apa yang boleh dikeluarkan?
Berikut adalah jumlah bayaran dan tempoh permohonan pengeluaran yang boleh dilakukan oleh mereka yang layak memohon Pengeluaran Kematian ke atas akaun simpanan KWSP bagi yang tidak mempunyai penama.
Kaedah Bayaran: Terdapat dua cara bayaran iaitu Bayaran Dalam Malaysia dan Bayaran Luar Malaysia.
1. Bayaran Dalam Malaysia:
-Bayaran pengeluaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemohon, dengan syarat pemohon mempunyai akaun bank yang aktif dengan bank panel KWSP yang terpilih dan nombor kad pengenalan (IC) pemohon adalah sama dengan rekod bank.
-Bayaran dilakukan dalam matawang Ringgit Malaysia (RM).
Jika bayaran gagal dikreditkan, bayaran akan diberikan dalam bentuk cek jurubank.
2. Bayaran Luar Malaysia:
-Bayaran dilakukan melalui Draf Bank Asing. Jenis matawang yang dibenarkan adalah matawang yang disenaraikan oleh KWSP, atau dalam matawang USD jika matawang yang diminta tiada dalam senarai KWSP.
Dokumen yang diperlukan:
-Borang KWSP 9KM (AHL) dan senarai semak dokumen.
-Salinan dokumen pengenalan diri pemohon bersama salinan asal untuk pengesahan.
-Salinan sijil kematian ahli atau penama (jika penama telah meninggal dunia).
-Sijil kelahiran ahli (jika ahli belum berkahwin) atau sijil perkahwinan, sijil penceraian atau bukti pertalian dengan pemohon.
-Butiran akaun bank pemohon.
-Dokumen lain yang ditetapkan oleh KWSP.
Bantuan Kematian: Pengeluaran ini juga merangkumi Bantuan Kematian yang bertujuan untuk membantu waris ahli yang terkesan dengan pemergian ahli, tertakluk kepada budi bicara pihak KWSP.
Bantuan ini berjumlah RM2,500 dan hanya diberikan sekali, bergantung kepada bilangan tanggungan yang layak (balu/duda, anak atau ibu bapa ahli).
Kelayakan Bantuan Kematian:
-Warganegara Malaysia atau bukan warganegara yang telah berdaftar dengan KWSP sebelum 1 Ogos 1998.
-Orang tanggungan ahli (balu/duda/anak/ibu bapa) tertakluk kepada status perkahwinan ahli.
-Ahli meninggal dunia sebelum berumur 60 tahun.
-Permohonan diterima dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli.
-Ahli mempunyai baki simpanan semasa permohonan Pengeluaran Kematian.
BACA: Walaupun nyanyian undang kritikan netizen, Abby Abadi pertahan Fazura