“Apa sudah jadi dengan Ops Naga?” soal Salahuddin

“Apa sudah jadi dengan Ops Naga?” soal Salahuddin

Baru-baru ini saya telah menerima aduan bahawa pencerobohan nelayan asing Vietnam semakin menjadi-jadi. Mereka semakin berani menceroboh perairan negara untuk mencuri khazanah hasil laut negara.

Isu pencerobohan nelayan asing ini sesungguhnya bukan suatu isu yang baharu. Tetapi ingin saya ingatkan di sini bahawa operasi khas Ops Naga yang dilancarkan pada tahun lepas telah membantu dalam menyelamatkan hasil laut negara sekaligus membela nasib nelayan tempatan.

Ops Naga merupakan sebuah inisiatif sewaktu saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan.

Dalam masa beberapa bulan, lebih dari 200 vesel asing telah ditahan dan beberapa bot asing juga telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi tujuan pembiakan ikan serta hasil laut.

Ini sekaligus membantu mengawal pencerobohan nelayan asing yang telah mengakibatkan ketirisan hasil laut sebanyak RM6 bilion setahun. Ops Naga juga turut membantu menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan oleh kegiatan nelayan asing.

Sebelum ini, saya sering memberi jaminan bahawa Ops Naga akan diteruskan untuk memastikan agar nasib nelayan tempatan terus terbela. Namun, dengan bertukarnya kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, operasi khas ini seolah-olah sudah diberhentikan.

Saya menyeru agar Ops Naga ini diteruskan untuk membela nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian mereka akibat pencerobohan nelayan asing. Walaupun kerajaan sudah bertukar, inisiatif yang berkesan seharusnya diteruskan tanpa mengambil kira unsur politik.

SALAHUDDIN AYUB
Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara

Ahli Parlimen Pulai

ADUN Simpang Jeram

7 Mei 2020

Sumber :

COMMENTS