Apa status siasatan VIP yang ingkar PKP? Amanah Perak tanya kerajaan

Apa status siasatan VIP yang ingkar PKP? Amanah Perak tanya kerajaan

Selepas lebih seminggu berlalu, Amanah Perak hari ini menanyakan status siasatan polis ke atas dua orang kenamaan di negeri itu yang didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Setiausahanya, Salman Salleh, berkata setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenai isu itu dimaklumkan pihak berkuasa.

Katanya, Amanah Perak bimbang insiden tersebut diberikan keistimewaan sehingga boleh memberi mesej yang salah dan menunjukkan sikap tidak wajar pihak tertentu ke atas orang kenamaan dan orang awam.

“Sudah lebih seminggu kejadian tersebut berlaku tetapi masih belum dimaklumkan hasil siasatannya dan ini cukup malang buat rakyat biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 18 April lalu Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, serta Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, menjadi sasaran kritikan warganet selepas dilihat makan beramai-ramai di sebuah sekolah tahfiz di Lenggong.

Pusat pendidikan itu didakwa dimiliki Razman yang juga salah seorang exco Perak.

Beberapa pemimpin kanan Umno mengecam kejadian tersebut, termasuk naib presiden parti itu, Mohamed Khaled Nordin, dan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Razman dan Noor Azmi kemudian – secara berasingan – membuat permohonan maaf atas kejadian tersebut. Pun begitu, pengguna media sosial berasa ia tidak memadai memandangkan orang awam yang melanggar PKP dikenakan tindakan, termasuk penjara.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan polis mengambil keterangan daripada pihak yang berkenaan selepas ada aduan mengenainya dibuat.

Salman berkata sebelum ini Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, turut memberi peringatan kepada pemimpin negeri agar menunjukkan teladan yang baik.

Katanya, hasrat itu mungkin tidak kesampaian jika ada mana-mana pihak yang gagal menjalankan amanah seperti yang sepatutnya.

“Pihak berkuasa perlu bersikap adil kepada semua rakyat kerana negara kita mempunyai undang-undang yang melindungi semua tanpa mengira apa kedudukan mereka,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/522660

COMMENTS