Apa hukum termakan makanan dari masakan kumpulan ajaran sesat, ini jawapan Ustaz

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Assalamualaikum Ustaz, benarkah ada hadis larangan untuk makan makanan penganut ajaran sesat?.

Sebab bila saya lihat pendedahan tentang ajaran sesat G*** ni saya jadi sangat geli dan jijik.

Apa hukum jika kita pernah termakan makanan dan ramuan mereka dalam keadaan kita tidak tahu ?

𝙅𝙖𝙬𝙖𝙥𝙖𝙣:

Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Apa hukum termakan makanan dari masakan kumpulan ajaran sesat, ini jawapan Ustaz
Allah Taala perintahkan kita makan makanan yang halal dan tayyib (baik) seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 168.

Makanan yang disediakan oleh ahli bidaah dan penganut ajaran sesat jika ia ada memasukkan unsur-unsur syubhah dan haram seperti rendaman air kaki,

bulu rambut, kotoran dan perkara-perkara yang jijik (walaupun dengan alasan tabarruk dan iktikad mereka yang batil) maka ia jelas terkeluar daripada maksud Tayyiba (yang baik).

Diriwayatkan dalam satu hadis:

إنَّ اللهَ اختارني واختار لي أصحابي وأصهاري ، وسيأتي قومٌ يَسُبُّونَهُم ويُبْغِضُونَهم فلا تُجَالِسُوهُم ولا تُشَارِبُوهُم ولا تُوَاكِلُوهُم ولا تُنَاكِحُوهُم

Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memlih untukku para sahabatku, menantu dan besanku, dan akan datang satu kaum yang akan mencela mereka dan membenci mereka maka janganlah kamu saling duduk bermajlis dengan mereka, janganlah kamu minum bersama mereka dan jangan makan bersama mereka dan jangan menikahi (wanita-wanita) mereka!

[ Dha’if al-Jaami’ no:1537, Ibnu Hibban dalam Al-Majruhin 1/212, Al-Zahabi Mizan al-‘Itidal 1/319, sanadnya lemah namun maknanya sahih ]

Wajah dilalahnya adalah larangan untuk makan dan minum bersama golongan pencela dan pembenci para sahabat Nabi antaranya Syiah dan seumpamanya.

Ulama Ahli Sunnah telah menukilkan ijmak larangan untuk duduk bermajlis bersama ahli bidaah termasuklah makan dan minum makanan dan minuman yang disediakan oleh mereka.

Riwayat ini dikuatkan maknanya dengan hadis yang sahih, Nabi ﷺ bersabda:

أكلَ طعامَكم الأبرارُ ، وصلَّتْ عليكم الملائكةُ

Makanan kalian dimakan oleh orang-orang yang al-Abrar (soleh dan bertakwa), dan para malaikat mendoakan kalian semua.

[ HR Abi Daud no:3854, An-Nasaie no:10129, Ahmad no:12429, disahihkan oleh An-Nawawi, Al-Syaukani dan Al-Albani ]

Kata Ulama maksud hadis ini adalah doa Nabi ﷺ kepada orang yang makan dengan disertai persahabatan orang yang soleh dan bertakwa ia akan diberkati dan didoakan oleh para malaikat. Mafhumnya ia ada perintah agar kita tidak makan melainkan makanan yang baik dan disertai dengan orang yang baik.

Dalam riwayat lain Nabi ﷺ bersabda:

لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا، وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ “.

Janganlah kamu bersahabat melainkan seorang mukmin, dan janganlah makan makanan kamu melainkan seorang yang bertakwa
[ HR Abu Daud no:4832, sahih ]

Kemudian jika makanan itu sudah terbukti disediakan oleh pengikut ajaran sesat (sebaik mana pun pada zahirnya )

kita wajib berwaspada kerana ia mungkin diletakkan dengan unsur-unsur kotor atau syubhah dan haram seperti yang dilakukan oleh golongan Batiniyyah atau Syiah dan ajaran sesat seumpamanya.

Jika kita termakan dalam keadaan kita tidak tahu hakikat kejahatan mereka sampai ke tahap itu maka itu tidak dikira berdosa kerana Allah tidak membebankan apa yang kita tidak mampu.

Namun jika kita sudah tahu dan pasti akan kesesatan dan kebejatan mereka maka tinggalkanlah dan boikotlah makanan dan minuman yang disediakan oleh mereka kerana ia termasuk dalam kategori saling menolong mereka dalam dosa dan permusuhan.

Wallahualam.

𝙊𝙡𝙚𝙝:

Ustaz Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi.

BACA: Datuk Red bawa cincin untuk Adira rupanya gimik!