Anwar paling layak terajui negara, dakwa Naib Presiden Amanah

Anwar paling layak terajui negara, dakwa Naib Presiden Amanah

Ahli Parlimen pembangkang masih lagi menaruh keyakinan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi mewakili blok pembangkang.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, ketokohan Anwar tetap unggul malah beliau mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Setakat ini, Anwar paling layak menerajui negara. Saya rasa semua Ahli Parlimen PH masih berpandangan begitu dan terbukti dalam satu sesi perbincangan tertutup diadakan dua minggu lalu.

“Ahli Parlimen PH menzahirkan sokongan padu pada Anwar. Bukan Anwar tidak layak, tetapi isunya adalah untuk meraih sokongan ahli Parlimen dari blok selain PH iaitu PH Plus dan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian susulan kegagalan pembangkang menghalang Perikatan Nasional (PN) daripada terus menjadi kerajaan dengan lulusnya Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hasanuddin yang merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, PH masih memerlukan sokongan daripada ahli Parlimen di luar ‘circle PH’ untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebab itu kami sentiasa berinteraksi dengan ahli Parlimen di luar PH dan meninjau peluang untuk menukar kerajaan yang tidak stabil ini. PN dan Muafakat Nasional juga sentiasa bercakaran sesama mereka.

“Oleh itu, PH kena bertindak segera untuk selamatkan negara dengan meluaskan kerjasama dengan ahli Parlimen lain kerana menyedari bahaya jika terus mengekalkan kerajaan tidak stabil ini,” katanya

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/114994/BERITA/Politik/Anwar-paling-layak-terajui-negara

COMMENTS