Terdapat beberapa kejadian yang mencemaskan di Dewan Rakyat hari ini apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengalami kesesakan dan kesukaran dalam menjawab soalan.
Sambil menepuk-nepuk dada beberapa kali, Loke kemudian duduk untuk berehat sementara memberi isyarat kepada timbalannya,
Hasbi Habibollah yang turut hadir di Dewan untuk meneruskan sesi tersebut.
Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang prihatin menasihatkannya supaya menjalankan pemeriksaan kesihatannya di hospital.
“Relaks dulu Yang Berhormat, kena periksa di hospital. Bahaya, bahaya,” katanya.
Menurut laporan dari Malaysiakini, Loke menghadapi sesak nafas kerana berlari dari keretanya ke Dewan Rakyat, yang merupakan menteri pertama dalam jadual untuk menjawab soalan pertama.
Selepas berehat seketika, Loke mengambil semula alih tugas tersebut daripada timbalannya dan menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Wong Chen (PH-Subang) mengenai maklumat terkini kes pemandu e-hailing kurang upaya yang didakwa diserang oleh pengiring pemangku sultan Johor.
Menurut Berita Bernama, dasar semasa tidak menghalang Orang Kurang Upaya (OKU) daripada kategori pendengaran untuk memohon Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas D/DA bagi E-Hailing.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini menyatakan bahawa mereka boleh memohon lesen berkenaan dengan pengesahan kesihatan daripada Pengamal Perubatan Berdaftar.
Beliau menjawab soalan asal Wong Chen (PH-Subang) mengenai garis panduan untuk membenarkan pemandu OKU dengan lesen A/A1 bekerja sebagai pemandu e-hailing dan rancangan kerajaan mengubah garis panduan untuk membolehkan pemandu OKU memperoleh lesen PSV.
Mengenai kebenaran pemandu OKU dengan lesen A/A1 memohon lesen PSV, Hasbi menjelaskan bahawa dasar semasa Pelesenan Pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam tidak membenarkan mereka untuk memohon Lesen Vokasional bagi mana-mana kelas.
“Perkara ini telah dinyatakan dalam Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan pemohon membuat akuan dalam borang ditetapkan mengenai sebarang penyakit atau kekurangan jasmani yang boleh membahayakan pemanduan kepada orang lain,” katanya.
Awalnya, Dewan Rakyat bergegar seketika apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke, semasa menjawab soalan Wong, kelihatan mengalami sesak nafas dan berdehem beberapa kali, sebelum Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng meminta Hasbi mengambil alih tugas beliau.
Namun, Loke kelihatan stabil semula dan meneruskan untuk menjawab soalan tambahan dari Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai pengecualian khusus bagi golongan OKU dalam sektor e-hailing.
Bagi isu tersebut, Loke menjelaskan bahawa walaupun terdapat pengecualian yang diberikan, pemohon kelas A/A1 perlu mengambil kira kecacatan fizikal yang mereka alami.
“Ada sesetengah yang tidak dapat pengecualian, tetapi dalam dasar kita, kita memberi sokongan kepada pemandu OKU kerana mereka juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mampu bertindak sebagai pemandu yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan e-hailing.
“Selagi mereka dapat membuktikan bahawa dari segi fizikal mereka mampu memandu, kita akan cuba memberi pengecualian. Namun, dalam borang pendaftaran, mereka perlu mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan, dan kita akan terus memperbaiki proses ini,” katanya.
BACA: Nonny Nadirah muat naik video menari sambil berkemban undang perhatian lelaki