Anthony Loke jawab gesaan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk Amanah terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor

Berikutan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, dua minggu lalu.

DAP tidak pernah meminta penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor, apatah lagi mengemis sebarang jawatan dalam kerajaan negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata DAP menghormati titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar Shah, yang menegaskan bahawa tiada pembangkang di Johor, sebaliknya hanya ada wakil pengimbang.

“DAP tidak akan meminta untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri Johor.

Anthony Loke jawab gesaan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor

Kami selesa dengan peranan kami sebagai pengimbang di Johor.

“BN memenangi 40 kerusi, PH pada waktu itu menentang BN dan memenangi 12 kerusi, ditambah satu kerusi Muda, manakala PN memenangi tiga kerusi. Jadi, BN dengan selesa boleh menubuhkan kerajaan di Johor dengan majoriti yang kuat. Itu adalah hakikat yang perlu kita terima.

“Jadi, saya ingin menyatakan pandangan dan pendirian DAP bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan mengemis jawatan dalam kerajaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Johor, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk Amanah terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor berikutan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, dua minggu lalu.

Cadangan itu telah menerima reaksi daripada beberapa pemimpin BN, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang kemudiannya menimbulkan polemik berterusan antara PH dan BN.

Mengulas lanjut, Loke berkata polemik yang mendakwa PH Johor mahu penubuhan Kerajaan Perpaduan perlu dihentikan.

Beliau juga telah memaklumkan kepada Liew Chin Tong, yang juga Pengerusi DAP Johor, sejak tahun lalu agar perkara itu tidak dibincangkan.

“Kepada rakan-rakan Umno, pendirian kami jelas; DAP bukan jenis yang mengemis jawatan. Kami ingin berada dalam kerajaan, kami bertanding dalam pilihan raya, menang dalam pilihan raya, dan kami akan wakili apa yang perlu kami wakili.

“Itu sebabnya, untuk Johor, nasihat saya kepada ahli-ahli kita bersabar. Kita perlu memainkan peranan kita sebagai wakil rakyat, sebagai ADUN, kita berkhidmat dan memastikan kita kuat. Kita perlu meraih semula sokongan rakyat dan mempertahankan setiap kerusi kita dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Mengulas kerjasama antara PH dan BN Johor dalam pilihan raya umum dan PRN16 yang akan datang, Loke berkata ia akan dibincangkan bila tiba masanya.

“Soal pilihan raya umum yang akan datang, bagaimana untuk bekerjasama, cara dan modelnya, kita akan bincang di peringkat pusat.

“Tak perlu bimbang, tak perlu gusar. Tanggungjawab pemimpin DAP Johor adalah untuk bekerja dengan betul, berkhidmat kepada rakyat, menjaga kawasan dengan baik, sehingga kita dapat menang semula semua kawasan kita.

Ini adalah mesej yang ingin saya sampaikan,” katanya.

BACA: 53000 anak muda terjerat dengan hutang, rupanya ini amalan yang tak patut dicontohi