Antara Bang Mat dan Nicole Wong

Antara Bang Mat dan Nicole Wong

Setahu aku, hampir tidak ada markas parti itu, kecil atau besar yang tak ada “air liur” Bang Mat di situ. Teringat saja nak buat markas, teringatlah duit. Teringat duit, teringatlah Bang Mat.

Kalau ulama parti itu dijemput pun, Bang Mat kena ada. Sebab orang ramai nak rasa percikan air liur Bang Mat walaupun sebelumnya ada percikan air liur ulama. Air liur Bang Mat ibarat jampi untuk tarik duit dari poket orang parti itu masuk ke kantung.

Kantung itu diusung daripada pendengar paling depan sampai pendengar yang duduk atas motor di seberang sungai dalam kelam. Sambil hembus asap rokok daun, poket diseluk dan masuklah seringgit dua dalam kantung parti itu. Itulah sihir air liur Bang Mat.

Lebai kulup yang baru masuk parti itu kelmarin dulu balik sana tak tahu cerita ini. Depa masuk parti itu ketika senang, bukan ketika ulama parti itu menumpang tuah air liur Bang Mat.

Itu dulu. Tapi kini Bang Mat sudah tidak bernilai sekupang selepas tidak bersama parti itu. Bang Mat dan geng dia bukan sekadar tidak pernah dihargai, tapi dihalal darahkan dan dinerakakan. Jika boleh, nama Bang Mat pun depa tak mahu sebut lagi. Air liur yang terpercik ke markas pun depa nak cuci dengan clorox.

Bang Mat setakat yang aku tahu bukanlah jenis manusia yang suka dilambung-lambung. Dia tak kisah pun kalau dia tak dihargai atau air liurnya itu tak dinilai. Baginya cukuplah sejarah menghargai jasanya. Rakaman sejarah sukar dibohongi.

Seorang pelajar Universiti Malaya merakamkan jasa air liur Bang Mat ini dalam tesis sarjananya tentang sosok ini. Kalau tak silap aku sebulan sebelum parti Amanah tertubuh, perakam jasa Bang Mat menyerahkan senaskhah dokumen itu kepada Bang Mat.

Kenapa sebegitu kelam sekali wajah Bang Mat pada pandangan lebai parti itu? Satu saja sebabnya, Bang Mat keluar parti itu selanjutnya lawan parti itu. Bukan kerana Bang Mat keluar agama atau hina agama tapi kerana Bang Mat lawan parti itu.

Bang Mat seorang Muslim yang baik. Aku pernah bermusafir dengan dia. Bang Mat bukan jenis orang huha huha sana-sini. Aku solat sebagai makmum dia, makan sehidang dengan dia. Kalau bersembang, dia mesti akan sembang hal ehwal umat Islam sedunia.

Kini, pada mata lebai parti itu, jangankan mahu dikata Bang Mat berjiwa besar seperti kata mereka kepada ketua pemuda parti kawan mereka itu, kalau boleh kelibat Bang Mat pun depa tak mahu tengok.

Mula-mula ketua pemuda parti yang jadi kawan kepada parti itu kata muslimah Kelantan tu tak layak jadi timbalan menteri. Tak layak, not fit. Aku tak boleh bayang kalau yang kata tak layak kepada muslimah tu adalah orang bukan parti kawan kepada parti itu.

Lepas tu ketua pemuda tu minta maaf. Bukan setakat dimaafkan tetapi diberi bintang jiwa besar. Fuh, jiwa besar terus. Jiwa besar bang… bukan senang nak dapat bintang tu.

Ketika Bang Mat dengan geng dia dapat bintang liberalis, sekularis, pragmatis, nerakawis, jirat cinawis, ketua pemuda itu dapat jiwa besarwis. Tapi begitulah parti itu. Sesiapa yang bersama mereka, sucilah orang itu. Siapa lawan mereka, jijiklah orang itu.

Untunglah kau Nicole. Kau sedang dicuci gilap, dipuja-puji oleh parti itu. Tapi aku cuma nak ingatkan kau satu perkara. Kau baca cerita Bang Mat di atas, dan kau ambillah pengajaran.

Mereka julang kau pada hari ini seperti mereka julang Bang Mat suatu ketika dahulu. Tapi ingat, sekali kau lawan depa, macam Bang Mat buat, ketika itu baru kau kenal wajah sebenar parti itu dan pemimpinnya.

Kau tak percaya cakap aku? Kau buatlah macam Bang Mat, geng dia dan aku buat. Selamat mencuba…!