Annuar Musa terus pertahan sokong Muhyiddin atas alasan keputusan parti

Annuar Musa terus pertahan sokong Muhyiddin atas alasan keputusan parti

Kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan tumbangnya sebuah kerajaan, perlu dijadikan iktibar dan pengajaran oleh ahlinya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi tersebut berlaku kerana wujud perpecahan dan tidak sependapat dalam kalangan pimpinan tertinggi dan ahli di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, pengalaman lalu wajar dijadikan pengajaran khususnya jika Umno dan BN mahu terus kekal sebagai pemerintah serta memperolehi kejayaan dalam menghadapi PRU 15 kelak bersama Perikatan Nasional (PN).

“Perpecahan, ia boleh membawa kepada keruntuhan, jadi sekarang kita melihat seolah-olah hendak berpecah semula, sedangkan kita tahu bahawa perpecahan itulah menyebabkan orang Melayu dan Islam jatuh.

“Beberapa perkara yang parti putuskan yang saya akan pegang dan pertahankan termasuk kita bentuk kerajaan PN. Ini merupakan keputusan parti, jadi kita mesti bentuk kerajaan baik dan memenuhi hasrat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Dewan Tun Ghaffar Baba, YKK, Padang Kala di sini, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan kepimpinannya merupakan sebahagian keputusan tertinggi parti yang perlu dihormati.

Walaupun tidak menyertai Perikatan Nasional seperti PAS kata beliau, malah pihaknya tetap bekerjasama dan memberi sokongan secara sebulat suara (en-bloc) atas nama BN dan PN.

Begitu juga slogan terhadap penolakan Umno terhadap DAP dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan keputusan yang dibuat oleh parti yang perlu difahami ahli akar umbi.

Pada PRU lepas, kerajaan BN yang ditunjangi Umno buat pertama dalam sejarah sejak merdeka, tumbang ekoran masalah membelit kepemimpinan parti itu terutamanya membabitkan dakwaan rasuah.- HARAKAHDAILY 2/1/2021

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/02/umno-sokong-muhyiddin-keputusan-parti-annuar/

COMMENTS