Pelakon terkenal, Nora Danish, berpendapat bahawa luahan rindu Zarina Anjoulie terhadap bekas suaminya, Nedim Nadzri, hanyalah sekadar rasa rindu seorang sahabat baik.
Menurut laporan mStar, Nora, yang nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah
mengenai isu tersebut kerana Zarina, atau lebih dikenali sebagai Anju, dan Nedim telah lama berkawan.
Nora, yang berusia 42 tahun, juga tidak kisah jika Zarina dan bekas suaminya mempunyai hubungan yang lebih daripada sekadar sahabat.
“Saya percaya mereka sudah lama berkawan, bahkan sebelum Nedim bersama saya lagi.
Mereka seperti sahabat baik. Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Anju, kami memang baik.
“Jadi apabila Anju memuat naik hantaran seperti itu, saya anggap ia hanya luahan rindu seorang kawan terhadap sahabatnya. Lagi pun pada waktu itu Nedim sedang sakit.
“Kalau mereka nak lebih daripada itu (berkawan) pun saya tidak kisah,” katanya.
Di samping itu, Nora, pelakon drama Sumpah Bunian, kurang senang apabila ada individu yang menuduhnya masih tinggal sebumbung dengan Nedim.
“Saya terima banyak mesej peribadi. Apa yang membuatkan saya kesal adalah, ada rakan-rakan saya sendiri yang berfikiran begitu. Mungkin mereka fikir kami baru bercerai masa Nedim sakit.
“Kami bercerai secara baik, jadi bila dia sakit, saya jaga dia. Kami sudah bersama selama 11 tahun, jadi kami sudah biasa. Bila saya menjaga Nedim, mungkin ada yang fikir kami sudah kembali bersama,” ujarnya.
Nora turut menambah bahawa dia tidak bercadang untuk kembali rujuk dengan bekas suaminya dan lebih fokus untuk memperbaiki diri.
“Saya terpaksa mengeluarkan kenyataan ini untuk menjelaskan bahawa kami tidak tinggal sebumbung.
“Ramai juga yang DM saya tentang Nedim bersama wanita lain. Saya tanya kenapa perlu lapor kepada saya?
“Ada juga yang mendoakan supaya saya kembali bersama Nedim. Tapi buat masa sekarang, itu (rujuk) bukanlah dalam fikiran saya… Saya kini hanya mahu fokus kepada penghijrahan diri saya,” katanya.
Untuk makluman, Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac 2017 dan bercerai pada 16 Jun lalu. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, yang kini berusia enam tahun.