Angka kematian petugas perubatan Indonesia akibat Covid-19 terus meningkat

Angka kematian petugas perubatan Indonesia akibat Covid-19 terus meningkat

Angka kematian petugas perubatan dan kesihatan di Indonesia terus meningkat dan paling tinggi di Asia serta ketiga terbesar di dunia.

Pasukan perubatan Doktor Indonesia (IDI), Dr Adib Khumaidi berkata, rekod itu berdasarkan perbandingan statistik dan populasi dari Mac 2020 hingga pertengahan Januari 2021, lapor CNN Indonesia.

“Perinciannya adalah seramai 289 doktor, 27 doktor gigi, 221 jururawat, 84 bidan, 11 ahli farmasi dan 15 kakitangan makmal perubatan.

“Dengan jumlah kematian tertinggi itu, Indonesia merekodkan peratusan kematian tertinggi di Asia dan tiga teratas di dunia,” katanya.

Adib juga memberi amaran kepada kerajaan dan masyarakat kerana menjangkakan lonjakan kes Covid-19 akan berlaku pada masa hadapan.

“Bermula dari percutian Krismas yang panjang dan sambutan akhir tahun mengakibatkan jumlah kes naik mendadak pada tahun 2021.

“Saya berharap kerajaan melaksanakan ujian calitan dalam kalangan masyarakat secara besar-besaran dan orang ramai sentiasa mengutamakan pemakaian pelitup muka, mencuci tangan, dan menjaga jarak sosial,” katanya.

Jelasnya, rekod data kematian petugas perubatan atas kerjasama dari pasukan perubatan Doktor Indonesia dari persatuan doktor gigi Indonesia (PDGI), persatuan perawat nasional Indonesia (PPNI), persatuan bidan Indonesia (IBI), Persatuan Pakar Teknologi Makmal Perubatan Indonesia (Patelki), dan persatuan Ahli Farmasi Indonesia (IAI).

Pada Jumaat, Indonesia telah mencatat jumlah keseluruhan kes Covid-19 melepasi satu juta dengan kes kematian seramai 29,331 orang. – SH