Anggota tentera ditahan kerana berlumba di jalanraya

Anggota tentera ditahan kerana berlumba di jalanraya

Lagak empat pemandu termasuk seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlumba di jalan raya memakan diri apabila kesemua mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, kesemua pemandu kereta jenis Honda Civic berusia antara 28 sehingga 31 tahun itu ditahan di Jalan Kota Syah Bandar berhampiran Jabatan Laut Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian keempat-empat kereta berkenaan dikesan telah melanggar lampu isyarat di jalan berkenaan.

Beliau berkata, kesemua pemandu kemudian bertindak memecut kenderaan masing-masing dalam keadaan beriringan disyaki hendak menduga kelajuan dengan bersaing sesama sendiri.

“Sepasukan anggota trafik terus mengekori suspek dari arah lampu isyarat Jalan Kota Syah Bandar ke arah Jalan Syed Abdul Aziz menghala masuk ke Jalan Kota Syah Bandar (Persisiran Pantai Eye On).

“Pada pukul 10.30 malam, kesemua empat pemandu lelaki telah berjaya ditahan di Jalan Kota Syah Bandar berhampiran dengan Jabatan Laut Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, seorang pemandu berusia 31 tahun merupakan seorang anggota tentera beralamat di Markas Tentera Darat cawangan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan (Kementah), Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

“Dua lagi pemandu berusia 28 dan 31 merupakan peniaga manakala seorang lagi berusia 30 bekerja sendiri.

“Selain itu, kita mendapati kereta dipandu anggota ATM itu turut mempunyai seorang penumpang wanita berusia 26 tahun, manakala sebuah lagi kereta membawa wnaita 24 tahun,” ujanya.

Dalam operasi itu, sebuah kereta telah disita manakala kesemua pemandu kini direman empat hari sehingga 24 Februari mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita penuh :https://www.utusan.com.my/berita/2021/02/4-honda-civic-seorang-tentera-ditahan-kerana-berluma/