Anda tak layak masuk karier politik jika ada 6 tanda ini. Bidang politik yang penuh tipu muslihat, menarik untuk dianalisis daripada luar pagar.
Kerjaya ini memerlukan seseorang punya sifat yang licik, penuh muslihat dan tipu daya, walaupun dalam dunia nyata dia seorang yang bersih suci akal fikirannya; apatah lagi dalam mengharungi dunia politik Malaysia yang kompleks dan sukar diduga.
Anda berminat nak bentuk karier sebagai seorang ahli politik? Sabar dulu. Nak jadi ahli politik kita kena buang beberapa sikap yang kita ada. Berikut adalah enam sikap yang orang biasa seperti kita selalunya ada, tak melayakkan kita menceburi bidang perebutan kuasa.
1. Kita ikhlas dalam bersimpati
Simpati dalam politik, berbeza dengan simpati masyarakat biasa.
Dalam simpati politik, kita boleh bersimpati kepada pihak lain baik yang sama aliran ataupun lawan, asalkan simpati kita kepada dia tak menggugat kedudukan kita.
Rasa simpati juga adalah senjata utama ahli politik mengemudi sokongan ke arah mereka, kerana mereka tahu simpati orang ramai terhadap jatuh bangun perjuangan ahli politik yang ‘memperjuangkan’ rakyat adalah tulen.
Kita orang biasa memang ikhlas menzahirkan simpati kita dalam situasi sebegini. Ahli politik pula tahu bila mereka perlu menzahirkan rasa simpati, kerana rasa simpati dalam politik perlu dikawal dan diselia.
Simpati adalah alat yang cukup berkuasa membentuk persepsi, asalkan diguna tepat pada masanya.
2. Kita takut nak pergunakan orang lain
Jika anda pernah melalui pengalaman menjadi ketua kepada jabatan atau satu-satu bahagian kerja, pasti anda pernah ada rasa kasihan untuk mengarah pekerja bawahan kita.
Kita akan fikir dia pun ada anak bini, suami yang perlu diberikan perhatian berbanding kerja. Serabut nak fikir, akhirnya kita yang buat semua.
Sebagai ahli politik di Malaysia, kita perlu buang rasa segan nak perguna orang dalam memastikan matlamat kita dilaksana.
Kita sebagai rakyat biasa mungkin tengok rombongan kereta Menteri ramai-ramai atas jalan raya membazir, tetapi kalau dah kemudahan itu tersedia dan semuanya disedia demi keselamatan kita…apa salahnya kita guna?
Ada kemudahan helikopter? Buat apa tak guna? Parti ada ramai ahli muda? Apa salahnya diperah kudrat dan tenaga mereka gantung bendera.
Orang biasa mudah rasa bersalah mengerah kudrat orang lain demi kepentingan sendiri. Tetapi bagi ahli politik yang padu, itu satu perkara biasa dan kelebihan-kelebihan ramai penyokong atau petugas ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.
3. Kita takut hendak kecewakan orang lain
Sesiapa yang pernah perlu menyingkirkan orang lain dari kerja akibat masalah disiplin atau masalah kewangan syarikat, pasti tahu betapa susahnya perkara itu nak dilakukan.
Lagilah kalau dia merayu-rayu kita tarik balik keputusan itu dengan bermacam sebab diujarkan. Kita orang biasa tak mampu buat keputusan betul yang menyakitkan.
Nak jadi ahli politik yang baik, seseorang perlu berani buat keputusan sebegini dengan muka selamba tak kiralah dalam hati sebenarnya luruh jantung dan hati.
Keputusan yang sukar dan akan mengecewakan orang lain perlu dilakukan dengan cepat, tepat dan segera – walaupun dia yang ingin dibuang, mungkin sudah lama berjuang bersama kita atau lebih teruk, kawan baik kita.
4. Kita rasa mengaku salah itu langkah terbaik
Apa sifat yang paling dibenci orang ramai apabila bercakap tentang ahli politik di Malaysia?
Majoritinya haram nak mengaku salah dalam satu-satu perkara, walaupun dah kantoi teruk binawenya.Kenapa?
Ini kerana ahli politik tahu sekiranya mereka mengaku salah, kesan dan impak buruk pengakuan itu kepada reputasi mereka adalah jauh lebih besar berbanding buat bodoh saja.
Jika mereka buat bodoh walaupun dah tersalah langkah, bagi saja seminggu dua orang ramai akan mula beralih kepada isu lain dan lupa apa yang dipersoalkan pada mulanya.
Kita pula rasa sebaliknya kan? Kalau ditangkap melakukan kesalahan, kita dididik untuk mengaku salah, terima hukuman dan janji tidak lagi mengulangi kesalahan serupa. Ahli politik Malaysia khususnya selagi boleh spin, dia akan spin dan cuba kembalikan sokongan kepada dia.
5. Kita tidak fleksibel
Setiap masalah ada banyak cara penyelesaian.
Bagi kita orang biasa, kita akan mencari jalan yang tidak menimbulkan banyak isu serta diterima umum. Namun bagi ahli politik, prinsip sebegini tak terpakai.
Khususnya ahli politik yang mengamalkan falsafah matlamat menghalalkan cara, setiap masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan pelbagai jenis varian dan variasi langkah berbeza, asalkan dia sanggup mengamalkan sikap yang supra-fleksibel.
Bagi ahli politik, tidak ada gunanya untuk terus cuba mengulangi gerak strategi yang sama setiap kali hanya kerana ‘itulah prinsip kita.’
Ada masanya langkah lebih lentur perlu diamal walaupun ideologi kita perlu ditolak ketepi, agar hala tuju kita dapat dibengkok, dilengkung dan diputarkan; asalkan matlamat kita berjaya.
6. Kita suka memberontak
Sekiranya anda pernah bergelumang dengan bidang politik, anda tentu tahu kumpulan yang mudah untuk diperbudakkan adalah orang bawahan yang naif minda politiknya.
Bagi orang bawahan seperti ini, apa saja matlamat dan hala tuju yang ditentukan oleh pihak parti akan dipatuhi dengan akur. Ini kerana sedar tak sedar, setiap parti politik memang menetapkan sifat ‘kenaifan’ sebagai kewajipan.
Tak percaya? Cuba lihat borang keahlian parti-parti. Majoritinya memerlukan akujanji ahli berikrar akan setia dengan fokus dan hala tuju parti, tanpa boleh dipertikaikan. Itu syarat utama perlu diikuti jika anda hendak berpolitik.
Sekiranya anda suka melawan, keras kepala dan suka mempertikaikan semua keputusan ketua, yakinlah anda memang tak sesuai masuk ke dalam gerak kerja politik.
Orang sebegini akan dilihat sebagai kanser yang boleh merosakkan kesatuan ideologi parti kerana membawa perangai lawan ketua. Lebih baik anda carilah komuniti yang sekepala dengan anda, wujudkan gerakan NGO bebas politik bagi memperjuangkan apa anda minta.
Parti politik hanya boleh berjaya jika majoriti ahli setuju dengan matlamat yang ditetapkan ketua atau jawatankuasa pemimpin parti. Itu konsep asas yang takkan boleh diubah dan sukar diterima ramai orang biasa.