Anak rasa diperguna ibu bapa, baru mula kerja dah rancang nak buat pinjaman

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Seorang gadis tidak menyangka perbualan antara ibu bapanya yang didengari tanpa sengaja boleh meninggalkan luka cukup mendalam di hatinya.

Mengakui merasa terkilan, gadis berkenaan juga menganggap dirinya dipergunakan

oleh ibu bapa malah kehadirannya hanya akan dihargai ketika menghulurkan wang.

Perkongsian tersebut dibuat oleh gadis berkenaan menerusi satu hantaran tular di platform X

(dahulunya dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti sebenar.

Anak rasa diperguna ibu bapa, baru mula kerja dah rancang nak buat pinjaman

“Aku baru sahaja menamatkan pengajian untuk ijazah sarjana muda. Selepas itu, aku ada terdengarlah perbualan antara ibu dan bapaku. Katanya, ‘kalau kakak dapatlah kerja itu, boleh ‘katok’ (minta) duit dia sedikit’.

“Agak terkilanlah juga sebab rasa macam diri ini hanya akan dihargai oleh ibu bapa sendiri sekiranya aku memberikan mereka duit sahaja,” kongsi gadis terbabit dalam perkongsian itu.

Lebih memburukkan keadaan, ibu kepada gadis berkenaan akan melemparkan kata-kata makian sekiranya duit diberikan dalam jumlah yang sedikit daripada kebiasaan.

Sedangkan gadis itu juga tidak memiliki wang yang cukup untuk menanggung dirinya sendiri selepas pendapatan diterimanya ‘ditolak’ bagi membayar komitmen bulanan.

“Setiap bulan, aku tak pernah lupa berikan duit dekat mak. Sampailah suatu hari ini, aku terima gaji sedikit. Ada pula komitmen yang perlu dibayar. Tiba-tiba, mak aku ini terus telefon.

“Dia maki-maki aku semua. Semuanya sebab aku berikan sedikit sahaja duit untuk mak. Sedangkan duit di dalam akaun bank tinggal berapa sahaja untuk teruskan hidup sampai hujung bulan.” Jelasnya.

Tular di media sosial, perkongsian gadis itu mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna di mana rata-ratanya menganggap pengadu tidak menghargai pengorbanan ibu bapanya.

Sebaliknya beberapa individu juga berpendapat bahawa ibu bapa kepada gadis itu mungkin tidak bermaksud jahat namun menggunakan pendekatan yang salah untuk meminta wang.

“Budak-budak sekarang memang tak boleh berikan duit dekat ibu bapa ke? Rugilah kecil-kecil dulu tak buang ke dalam tong sampah,” kata seorang pengguna yang geram membaca perkongsian itu.

“Ayat ‘katok’ itu tak kena. Arwah ibu saya dahulu selalu gunakan perkataan ‘belanja’. Katanya, ‘nanti banyak duit, boleh belanja mak’. Kan sedap sahaja dengar. Kita juga jadi teruja nak berikan duit.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: ‘Dari kecil along jadi mangsa kemarahan ibu sehinggalah ayah bawa along keluar, ayah pulang tanpa along malam tu!’