AMK persoal hukuman berbeza untuk anak zahid dan orang awam

AMK persoal hukuman berbeza untuk anak zahid dan orang awam

Saya merujuk kepada keputusan kes Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang hanya dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM800 seorang kerana akibat kesalahan melanggar PKP.

Keputusan kes Datuk Nurul Hidayah yang juga anak kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi menarik perhatian saya dan juga ramai warga netizen apabila pasangan suami isteri itu hanya dikenakan denda RM800 seorang manakala Pelajar IPT, Ibu tunggal, warga emas dan ramai lagi yang melanggar PKP dikenakan denda maksimum sebanyak RM1,000 manakala ada juga yang berhadapan dengan hukuman penjara.

Apakah keistimewaan Datuk Nurul Hidayah dan suaminya sehingga tidak dilayan sama seperti pesalah yang lain dan hanya dikenakan denda RM800? Apakah menjadi anak kepada Presiden UMNO membolehkan beliau memperoleh rebat 20% daripada kadar denda yang dikenakan. Bukankah ini satu keputusan yang “double standard” dan tidak adil.

Sebelum ini Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara kita. Kerajaan bersikap adil kepada semua, sesiapa yang langgar undang-undang akan diambil tindakan tanpa mengira sebarang kedudukan. Namun keputusan hari sangat mengejutkan dan sangat tidak adil. Nampaknya anak Presiden UMNO berjaya mengatasi undang-undang sehingga Kerajaan menukar syarat membolehkan empat orang ahli keluarga berada dalam satu kereta.

Sebelum ini seorang ibu tunggal telah dikenakan penjara 30 hari kerana melanggar PKP dan kemudian diganti dengan RM1,000 setelah beliau membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. Dalam kes itu beliau ditahan kerana keluar membeli minuman di kedai berhampiran. Beliau juga pernah menjalani hukuman penjara selama 8 hari dalam kes ini walaupun ibu tunggal itu terpaksa membiarkan anaknya berseorangan.

Manakala layanan yang diberikan Datuk Nurul Hidayah dan suaminya tidak sama seperti yang lain dimana pasangan suami isteri tersebut hanya dipanggil untuk siasatan sebelum ini dan terus dihadapkan ke Mahkamah. Apakah rakyat marhaen yang mengingkar PKP diberi layanan yang sama?

Seorang pelajar IPT yang pergi ke rumah kawannya untuk membuat tugasan juga dikenakan denda RM1,000 manakala seorang warga emas yang menunggu bantuan makanan PKP juga dikenakan denda RM1,000. Namun begitu, kes Datuk Nurul Hidayah dan suaminya nampaknya sangat istimewa sehingga diberi layanan berbeza dan hanya dikenakan denda RM800. Apakah ini Keadilan yang dibincangkan?

Mungkin ada juga yang akan berhujah bahawa kita perlu tengok kepada fakta kes, pesalah mengaku kesalahan dan tidak mengganggu tugas pegawai Polis. Dalam kes, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya beliau tidak ditahan oleh Pihak Polis dan beliau bebas dari segala sekatan. Tindakan hanya diambil selepas perbuatan beliau dikecam teruk oleh netizen di media sosial. Apakah SOP yang sama akan digunakan jika rakyat marhaen berbuat demikian?

Proses mendakwa dan mengenakan hukuman denda kepada orang kenamaan hanya dilihat sebagai tindakan untuk menutup isu. Rakyat muak dengan proses ketidakadilan sebegini. Reformasi sistem perundangan perlu disegerakan bagi memastikan tiada ruang untuk proses “Double Standard” dimanipulasikan.

“Tegakkan Keadilan”

Sekian Terima kasih,

Thiban Subbramaniam
Naib Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Sumber: