AMK Melaka gesa kerajaan negeri kembalikan parkir percuma Sabtu, Ahad

AMK Melaka gesa kerajaan negeri kembalikan parkir percuma Sabtu, Ahad

Jika dulu datang ke Melaka pada hujung minggu tidak perlu gores tiket parkir, sekarang dah kena gores mulai bulan depan sebab Kerajaan Perikatan Nasional Negeri Melaka tidak lagi memberikan parkir percuma pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Keputusan kerajaan Perikatan Nasional Negeri Melaka yang memberikan parkir percuma pada hari Isnin dan Selasa berkuatkuasa bermula 1 Julai 2020 adalah sesuatu tindakan yang mengejutkan dan tidak masuk akal.

Pakatan Harapan ketika mentadbir kerajaan negeri telah memenuhi janji Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan memberikan parkir percuma pada hari Sabtu dan Ahad bagi meringankan beban rakyat.

Baru-baru ini YB Adly Zahari, mantan Ketua Menteri Melaka memaklumkan tujuan parkir percuma diberikan pada hujung minggu adalah untuk memacu ekonomi rakyat dan meningkatkan pendapatan negeri melalui hasil cukai dengan keuntungan perniagaan.

Pada masa Pakatan Harapan memerintah, ketika itu dijangka kerajaan negeri Melaka kekurangan kutipan hasil kira-kira RM2 juta setahun selepas pelaksanaan pengecualian bayaran parkir kenderaan pada hari Sabtu dan Ahad yang bermula 15 Jun 2018 tetapi berjaya catat 18.7 juta pelancong pada tahun 2019.

Saya yakin dengan adanya inisiatif ini, pelancong dalam dan luar negara pada ketika itu tidak perlu bersusah payah lagi untuk mencari di mana kaunter yang menjual tiket parkir. Inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan langkah penjimatan perbelanjaan yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dikala pandemik Covid-19 ini rakyat negeri Melaka sangat terkesan dari segi pendapatan dan kos sara hidup. Pada waktu ini parkir percuma pada Sabtu & Ahad sewajarnya diteruskan bagi menarik ramai lagi pelancong tempatan datang ke Melaka sekaligus mengembangkan lagi industri pelancongan.

YAB Datuk Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka dinasihatkan agar mengembalikan semula parkir percuma pada hari Sabtu dan Ahad bagi membantu rakyat Melaka dan memacu ekonomi tempatan serta industri kecil & pelancongan.

Sekian terima kasih.

Sumber:

COMMENTS