AMANAH beri mandat penuh kepada Anwar lakukan rundingan – Khalid

AMANAH beri mandat penuh kepada Anwar lakukan rundingan – Khalid

Saya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 15hb Oktober bertajuk “DAP tiada masalah bersama UMNO”. Saya perlu menegaskan di sini bahawa laporan itu mengambil kata-kata saya di luar kontek perbincangan di mana pada dasarnya temubual itu berhubung pendirian AMANAH dan bukan DAP. Tidak wajar kata-kata saya dipetik sebagai mewakili pendirian DAP sedangkan saya merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH, bukan DAP.

Dalam menjelaskan pendirian AMANAH saya telah menyatakan kerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO adalah mungkin, tetapi sepertimana dengan semua persoalan kerjasama, ianya semestinya bergantung kepada syarat-syarat yang bakal diperhalusi. Buat masa ini mandat penuh diberikan AMANAH kepada DSAI untuk memulakan perbincangan dengan semua pihak untuk membentuk kerajaan di bawah kepimpinan beliau, termasuk Ahli Parlimen UMNO.

Hakikatnya, tiada kerjasama yang “tiada masalah”, kerana ianya di antara entiti-entiti yang bersendirian dan berbeza, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan kerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO. Oleh itu rundingan perlu untuk memungkinkan ianya berlaku dan syarat-syarat pasti akan dibincang dan ditetapkan bila tiba masanya. Mengikut kata-kata pujangga, “politics is the art of the possible” bererti politik adalah seni memungkinkan sesuatu berlaku. Tidak mengusahakan sesuatu atau menggagalkan sesuatu tidak perlu kepada seni mahupun kemahiran.

Setelah menjelaskan pendirian AMANAH, saya ditanya pemberita bagaimana pula dengan pendirian DAP? Saya menyebut “tiada masalah” dengan maksud, sepertimana juga dengan AMANAH, DAP akan memerlukan perbincangan dan perundingan berhubung syarat-syarat kerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang ingin menyokong DSAI. Dan seingat saya, selepas itu saya turut menambah “tetapi, perlu tanya DAP”. Akhirnya ianya terpulang kepada DAP samada mereka bersedia untuk berkerjasma dengan Ahli Parlimen UMNO atau sebaliknya.

Pada masa yang sama, seingat saya, DAP pernah menyatakan pendirian mereka di Kota Kinabalu sebelum ini.

Saya menganggap laporan ini berniat jahat bertujuan mencetuskan perbalahan antara saya dan rakan-rakan saya yang bersama DAP. Ia ingin menggambarkan diri saya sebagai ingin mewakili dan bercakap bagi pihak mereka sedangkan temubual yang dilakukan adalah berhubung pendirian AMANAH.

Saya harap keadaan dan konteks sebenar kata-kata saya semasa temubual berkenaan adalah jelas dan saya menyeru pihak media untuk mempertingkatkan lagi professionalisme mereka semasa melaporkan sesuatu.

Seingat saya, saya tidak memberi apa-apa temubual berhubung pendirian DAP mengenai apa jua isu kepada mana-mana akhbar, samada berbahasa Inggeris atau Mandarin. Untuk mengetahui pendirian DAP semestinya dirujuk pada DAP sendiri.

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti AMANAH Negara.
Pada 16 Oktober 2020

Sumber :

KENYATAAN MEDIA: LAPORAN DAP TIADA MASALAH DENGAN UMNO1. Saya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 15hb…

Posted by We Are All Jebonesta on Thursday, October 15, 2020

 

COMMENTS