Amanah akan terus damaikan semua pihak demi kembalikan mandat rakyat

Amanah akan terus damaikan semua pihak demi kembalikan mandat rakyat

AMANAH bertekad akan terus menjadi orang tengah dan mendamaikan semua pihak khasnya antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tindakan yang telah dilakukan adalah dengan menghantar sahabat rapat Anwar yang kini Penasihat AMANAH, iaitu Datuk Seri Ahmad Awang dan Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin bertemu dan berbincang dengan Anwar.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, AMANAH akan terus menjadi orang tengah untuk mempastikan mandat rakyat pada pilihan raya ke 14 lalu dikembalikan.

“AMANAH dan DAP akan terus mendamaikan semua pihak bukan melagakan mereka,” kata Khalid dalam temubual dengan TV internet, Jom Chanel.

Bagi beliau, kalau Pakatan Harapan dan PH Plus berpecah, bukan sahaja mereka akan kehilangan sokongan Tun Mahathir bahkan juga Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong beliau dan juga Warisan.

Ia akan menyebabkan PH akan kekal dengan 91 kerusi sahaja iaitu kerusi yang dimiliki oleh PKR, DAP dan AMANAH sahaja.

“Sebelum ini kita bangga kerana ada 107 kerusi kerana Tun sokong, dan Warisan sokong. Maka kalau mereka seolah-olah sudah tidak sanggup lagi bersama, ia akan rumitkan kita untuk mencapai kerusi yang mencukupi,”
kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Menurut Khalid, usaha untuk menarik semua pihak bersama umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung juga tidak terbarai.

“Seolah-olah kita nak tarik rambut dalam tepung, tetapi datang sesaorang di tepuknya meja tu, habis berteraburlah semuanya.

“Lepas itu kamu kata, memang aku dah kata sebelum ini, takkan berjaya.

“Memanglah tak berjaya, dah kamu buat camtu. Kita tengah nak tarik baik-baik, tiba-tiba kamu datang pung pukul meja camtu, berteraburlah,” kata Khalid.

Bagi Khalid, usaha itu akan berjaya jika semua pihak bekerjasama dan memberikan sokongan.

“Memanglah tak berjaya kerana awak ganggu. Cuba awak tak ganggu, awak membantu usaha untuk meyakinkan semua pihak, sudah tentu berjaya,” jelas beliau.

Antara usaha yang dilakukan oleh AMANAH dan DAP adalah memujuk Tun Dr Mahathir agar menerima Anwar sebagai perdana menteri manakala anak beliau Datuk Seri Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri
manakala beliau sendiri sebagai menteri mentor.

“Kita jumpa Tun, kita kata Anwar jadi PM, Mukhriz timbalan, Tun menteri mentor.

“Menteri mentor ini masih berpengaruh, kita tak buat Tun macamana Abdullah Badawi buat. Bila dia jadi PM, dia tak kesah apa pandangan Tun. Kita tak buat macam Najib, bila jadi PM tak layan Tun.

“Kita cuba pujuk dan beri keyakinan dia kepada gabungan ini,” kata Khalid yang turut menjelaskan peranan menteri mentor perlu diperjelaskan dengan baik agar semua pihak senang dengan cadangan itu.

Namun, katanya, apa yang berlaku adalah ada sesetengah pihak terus menerus menyerang Tun Mahathir dengan pelbagai kata nista.

“Tetapi kalau terus bantai Tun, kata dia penipulah, itulah inilah dan sebagainya, maka Tun sendiri akan rasa, belum ada kuasa dah bantai aku. Kan bila aku terima jadi menteri mentor, teruklah aku lagi, aku dah tidak ada kuasa.

“Macamana kita nak yakin kan orang supaya sokong kita jadi PM. Kita nak sokongan dia sebab kita nak jadi PM tetapi kita dok bantai dia,” kata Khalid.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon semua penyokong PH memberikan keyakinan kepada pimpinan untuk menyelesaikan isu ini dengan baik.

Berita penuh:

https://malaysiadateline.com/amanah-akan-terus-jadi-pendamai-tun-m-dan-anwar/

COMMENTS