Almarhum Sultan Ismail Petra sangat dekat di hati rakyat

download - 2019-09-28T123132.789

Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra adalah Sultan Kelantan yang ke-28 yang sangat dekat di hati rakyat ketika memerintah Kelantan.

Baginda memerintah Kelantan bermula 30 Mac, 1980 sehingga Sept 2010 setelah disahkan gering ketika itu dan digantikan putera sulungnya Tengku Muhammad Faris Petra, yang kini bergelar Sultan Muhammad V.

Pengumuman kemangkatan Baginda hari ini diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam satu sidang akhbar khas di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Selama memerintah, Baginda begitu banyak mendekatkan diri dengan rakyat sebagai payung yang menjadikan rakyat berbilang bangsa dan kaum di negeri ini hidup dalam keadaan bersatu padu.

Baginda telah diputerakan pada Jumaat, 11 Nov, 1949 bersamaan 19 Muharam 1369 Hijrah di Istana Jahar, Kota Bharu di sini.

Baginda adalah putera tunggal dan anak bongsu kepada Almarhum Sultan Yahya Petra dan Almarhumah Raja Perempuan Zainab II.

Pada 11 Nov, 1967 baginda dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan pada 11 Nov, 1967 ketika Baginda berusia 18 tahun.

Pada 30 Mac, 1980, Baginda telah dimahkotakan sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, Kota Bharu bagi menggantikan ayahanda baginda Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Ketika itu Baginda berusia 31 tahun.

Sultan Ismail Petra mengalami strok sejak 14 Mei 2009. Berikutan itu Baginda diberi rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kerajaan Negeri Kelantan kemudiannya melantik 10 pakar perubatan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan Baginda.

Bagaimanapun apabila gering Baginda berterusan, panel pakar memutuskan Baginda telah tidak mampu menjalankan tugas untuk memerintah negeri dan memutuskan putera sulungnya itu sebagai sultan yang baharu.

Membesar bersama empat orang kekanda iaitu Tengku Merjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani, Baginda mendapat pendidikan menengah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu sebelum belajar dengan guru khas Bahasa Inggeris.

Pada 8 Jan, 2002, baginda dianugerahkan dengan Ijazah Dr Falsafah Kehormat dalam bidang Sains Politik dari Universiti Ramkhamhaeng, Thailand.

Pada 4 Dis, 1968 Sultan Ismail Petra berkahwin dengan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Kota Lama, Kota Bharu.

Istiadat persandingan Diraja telah dilangsungkan di Istana Balai Besar pada 12 Mac 1969 mengikut adat istiadat raja-raja Kelantan turun-temurun.

Melalui perkahwinan Baginda dengan Tengku Anis, Baginda dianugerahi empat cahaya mata iaitu Tengku Muhammad Faris Petra (kini Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhammad V) Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kini Tengku Mahkota Kelantan), Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A’ishah Putri.

Sepanjang tempoh pemerintahan Baginda, sebuah masjid dibina atas nama Baginda iaitu Masjid al-Sultan Ismail Petra di Jalan Sultan Yahya Petra, Kubang Kerian.

Baginda juga mewujudkan Kolej Jamiah Islamiah Al-Islamiah Sultan Ismail Petra (JAIPETRA) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Nilam Puri.

Sebuah sekolah menengah juga dibangunkan atas nama Baginda iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini.

Dua buah sekolah kebangsaan juga dinamakan mengikut nama Baginda iaitu Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1) dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (2).

BERNAMA