Bukan bersikap sombong, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri menolak tawaran
Menyanyi di sebuah konsert di Pulau Pinang kerana bayaran yang ditawarkan tidak berpatutan.
Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 37, berkata jika ada penganjur yang mahu mengundangnya
sebagai penyanyi, bayaran minimum yang dikenakan adalah sebanyak RM15,000.
“Demi Allah, saya ada terima tawaran sebagai penyanyi jemputan untuk sebuah konsert di Pulau Pinang bulan lepas.
“Tetapi saya belum bersedia, dan suara saya terlalu merdu, jadi bayaran yang mereka tawarkan tidak setimpal.
“Kalau nak panggil saya, paling kurang harga saya adalah RM15,000,” katanya.
Menurut Aliff, jika bayaran yang diberikan terlalu rendah, lebih baik dia menjual produknya di TikTok melalui video siaran langsung.
“Kalau saya hadir, dah bersiap cantik-cantik, lepas itu diminta menyanyi dengan bayaran RM2,000 saja.
“Baik saya berniaga dengan buat live di TikTok,” katanya.
Bukan berniat untuk berlagak, tetapi Aliff merasakan tawaran tersebut tidak sepadan dengan popularitinya.
Aliff juga tetap berpegang kepada pendirian bahawa RM15,000 adalah harga minimum untuk menyanyi di mana-mana majlis atau konsert.
“Saya bukan nak sombong, tapi penganjur tu ingat saya artis funfair?
“Jadi saya kata tak boleh dan harga saya tetap paling minimum RM15,000. Kalau pergi juga memang tak berbaloi,” jelasnya.