Aliff dan Bella dedah kena sihir pemisah. Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 28, membuat keputusan mengurangkan perkongsian mengenai keluarga dalam media sosial selepas mendakwa menjadi mangsa sihir pemisah rumah tangga.
Isteri kepada penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz itu mendedahkan, sihir pemisah itu dihantar seorang wanita yang mahu melihat rumah tangga berantakan dan berpisah.
Bella mendakwa, ada sesuatu tidak kena selepas dia dan suami kerap mengalami mimpi buruk.
“Saya bermimpi ular, Aliff pula mengalami mimpi lebih buruk iaitu saya membawa pulang lelaki ke rumah dan bergaduh dengan lembaga hitam.
“Saya boleh katakan hubungan saya dan Aliff dalam tempoh sebulan ini tak okay. Kami nampak perubahan dalam diri masing-masing.
“Saya juga bersyukur Aliff terbuka untuk berubat berikutan ramai pasangan terkena sihir pemisah disebabkan enggan berubat.
“Mengikut ustaz yang merawat, kami terkena sihir pemisah. Alhamdulillah, kami nampak perubahan selepas berubat,” katanya kepada BH Online ketika ditemui sidang media program Famili Duo musim terbaharu yang bakal bersiaran di TV3 pada 18 Disember ini.
Biarpun pengalaman hitam sudah berlalu, Bella berkata, dia dan Aliff kini berusaha memperbaiki diri. Mungkin apa yang berlaku disebabkan kesilapannya.
Namun, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah bersyukur suami sentiasa berada di sisi memberikan sokongan.
“Kami perlu kuat untuk mempertahankan rumah tangga, mungkin ini juga satu ujian dan teguran agar saya kurang membuat perkongsian dalam media sosial.
Lihat siaran ini di Instagram
“Saya mohon maaf sekiranya ada pihak yang kurang senang dengan perkongsian saya selama ini,” katanya.
Bagi pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh dan Adakah Engkau Menungguku itu, Aliff menghalangnya mencari siapakah dalang di sebalik semua itu, sebaliknya memintanya meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya tak nak ambil tahu siapa dalang yang menganiayai kehidupan saya dan keluarga,” katanya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Mohammad Ayden Adrean, 5, dan Ara Adreanna, 2.