Beberapa premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Seremban 2 didakwa ditutup sejak Rabu lalu.
Tinjauan mendapati keadaan kedai makan milik mereka seperti ditinggalkan dalam keadaan ‘tergesa-gesa’.
Peralatan memasak seperti kuali, periuk, dan adunan kuih dibiarkan begitu saja dalam bekas.
Malah, terdapat peralatan memasak dan bekas makanan yang ditinggalkan di dalam singki tanpa dibasuh.
Seorang peniaga mendakwa kedai tersebut bukan sahaja ditutup sejak Rabu lalu, malah kelibat pekerja mereka juga tidak kelihatan.
“Masa mula-mula isu berkaitan GISBH ini kecoh, kedai mereka masih beroperasi seperti biasa walaupun pelanggan yang datang tidak seramai dahulu.
“Tapi tidak silap saya, sejak Rabu lalu, semua premis perniagaan mereka ini tidak beroperasi. Saya juga tidak nampak lagi kelibat pekerja mereka kerana kita boleh mengenali mereka berdasarkan imej kopiah yang dipakai,” katanya.
Peniaga lain pula memberitahu terdapat beberapa individu yang kelihatan seperti pihak berkuasa datang ke premis terbabit untuk mencari kumpulan mereka.
Bagaimanapun, dia tidak pasti jika ‘kehilangan’ pekerja premis GISBH di situ disebabkan oleh penahanan pihak berkuasa.
Antara aktiviti perniagaan yang dijalankan di situ termasuk kedai runcit, kedai cendol, kafe, bakeri, dan warung menjual kuih.
BACA: Hati wanita ini bagai dirobek melihat kebaikan suami, terpaksa pura-pura