‘Aku tangkap kau berkhalwat dengan suami orang, aku pula dimasukkan ke dalam lokap’

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Sebulan lebih sebelum tarikh ini lebih kurang pada Ogos , kita berdua bertengkar kerana teguran aku kepada kau mengenai kau yang terlalu taksub dengan telefon bimbit kau.

Sehingga ke dalam tandas pun kau bawa. Takut sangat kalau aku pegang telefon kau tu.

Kau begitu melekat dengan telefon bimbit kau itu dan kelakuan kau kebelakangan ini sangat mencurigakan daripada kebiasaan.

Seperti ada sesuatu yang engkau sembunyikan dari aku. Teguran itu adalah kerana aku kurang senang dengan situasi tersebut.

Malam pertengkaran kita itu adalah se usai kita sekeluarga tengok wayang. Akibat pertengkaran itu, kau membuat keputusan untuk lari dari rumah kelamin kita pada pagi keesokannya.

‘Aku tangkap kau berkhalwat dengan suami orang, aku pula dimasukkan ke dalam lokap’

Kebiasaanya bila berlaku perselisihan faham antara kita suami isteri, kau pasti lari rumah, dan kemudian kau tetap akan pulang. Tapi kali ni kau keluar terus selamanya.

Pagi tu aku sengaja sorokkan kunci kereta kerana aku tahu sikap kau yang akan keluar rumah tanpa izin bila kita bergaduh.

“U, mana kunci kereta I?” tanya kau pada aku.

“Mana I tahu, U simpan kat mana?” Sengaja aku bertanya begitu.

“I nak bawa anak-anak gi mandi swimming pool kat club house.” Kau memberi alasan untuk keluar juga.

“Ok.” Jawab aku ringkas dan bersifat husnuzon.

Rupanya-rupanya kau mempunyai perancangan lain. Aku kelu tidak terkata bila kau tidak pulang langsung bersama-anak sehingga ke petang. Aku cari kau dan anak-anak di club house tetapi tidak kelihatan kau di sana.

Aku cuba mencari di merata tempat tapi hampa. Aku tak boleh hubungi kau kerana telefon kau ada di rumah. Aku hubungi telefon anak kita tidak berjawab.

Keesokan harinya aku dapat info mengatakan kau berada di rumah kakak kau. Rupanya sebaik keluar rumah, kau hubungi kakak kau di KL untuk ambil kau dan anak-anak lari dari aku.

Sekurang-kurangnya aku bersyukur kau dan anak-anak selamat.

Lantas aku pun hubungi kakak kau melalui Whatsapp. Kakak kau membalas akan pantau dan jaga kau bersama anak-anak di sana. Aku akur.

Kakak kau juga berjanji akan pujuk kau balik ke rumah memandangkan kau tidak ingin memberi peluang langsung kepada aku untuk kita bersama berbincang tentang masalah kita.

Selang 2 hari kakak kau datang ke rumah untuk mengambil kain baju kau dan anak-anak termasuk kunci kereta isteri aku. Aku tidak membantah walaupun hati aku meronta untuk berjumpa dan berbincang dengan kau.

Masakan aku ingin berbuat demikian sekiranya kau enggan. Setelah itu aku dapat tahu isteri dan anak-anak aku menetap di rumah Pak Ngahnya sementara di Seksyen Shah Alam.

Hari berganti minggu sehinggalah pada 9 Oktober 2022 jam lebih kurang 2.45 pagi, ketika aku berada di rumah usai pulang majlis Ijtimak Ulama Masjid Batu 3, aku mendapat beberapa panggilan dari nombor tidak dikenali.

Aku tidak jawab panggilan itu kerana sedang solat hajat. Mesej dari Whatsapp dari nombor tersebut masuk pada 2.54 pagi

“Assalamualaikum, Napi tolong angkat phone kejap boleh?”

Nombor tersebut hubungi aku lagi dan aku angkat. Seorang perempuan di talian memperkenalkan diri sebagai Nora merupakan isteri kepada rakan baik aku yang juga rakan perniagaan aku.

“Awak tau tak suami akak ada something dengan Ain?” Tanya Nora. Ain adalah isteri aku.

“Saya ada syak. Tapi saya tiada bukti kak?” Jawab aku ringkas.

“Macamana awak boleh syak? Boleh ceritakan kepada saya tak?” Tanya Nora lagi.

“Saya cuma syak suami akak ni semakin jauh dengan saya sedangkan dia rakan baik saya. Macam-macam bisnes saya buat dengan dia. Sebelum ni boleh kata setiap hari kami berjumpa dan minum bersama.

Sejak isteri saya kerja bawah suami akak ni, dan mereka rapat, dengan saya pula suami akak ni nak menjauh. Reaksi isteri saya yang dingin dengan saya menguatkan syak saya.” jawab aku.

“Saya ada check telefon bimbit Ain tetapi tak jumpa apa-apa yang mencurigakan. Jadi saya tiada bukti. Tetapi untuk makluman akak, suami akak tu kerap call Ain malam-malam alasan kerja katanya.” tambah aku lagi.

Perbualan kami hanya berlangsung lebih kurang 10 minit. Aku menjadi tidak sedap hati. Aku sambung solat hajat dan berdoa agar Allah tunjukkan kebenaran dalam perhubungan aku dan isteri.

Lebih kurang jam 4 pagi aku tergerak hati untuk periksa GPS kereta Myvi isteri aku dan kereta tersebut sedang bergerak menghala ke suatu lokasi.

Dengan berpakaian jubah, aku lantas memandu Toyota Camry aku menghala ko lokasi GPS tersebut. Lokasi berhenti di lorong gelap bersebelahan Bank Rakyat Seksyen 9 Shah Alam. Kelihatan Myvi Silver isteri aku di situ tanpa pemandu.

Aku berhentikan kereta aku bersebelahan Myvi isteri aku. Aku toleh ke arah kereta Volkswagon di belakang Myvi tersebut yang aku sangat kenali.

Ya, itu adalah kereta kawan baik aku iaitu suami kepada Nora. Aku berjalan kaki menuju ke arah kereta kawan baik aku tu.

Allah Maha Besar. Walaupun dalam keadaan samar kegelapan dibantu dari lampu jalan yang kejauhan dan lampu keretaku, aku sangat mengenali susuk pemandu dan penumpang disebelahnya.

Kawan baik aku sendiri bernama Anas bersama isteri aku sedang duduk rapat antara satu sama lain. Nauzubillah.

Aku ketuk cermin sebelah pemandu dan Anas turunkan cermin.

“Korang buat apa kat sini pukul 4.30 pagi ni!!” Aku menengking kepada mereka berdua.

“Eh, kau turun dari kereta ni! Balik! Siapa yang jaga anak-anak?! Boleh kau keluar rumah tinggalkan anak-anak!” Aku terus memarahi isteri aku.

“Eh, I takkan balik. Sekarang U yang balik. Dan I nak U ceraikan I.” Isteri aku keluar dari kereta dan terus memarahi aku.

“Kau cerita apa kat bini aku? Kenapa kau burukkan aku kat bini aku?” Anas cuba play victim.

“U menipu apa haa?! U cakap apa kat isteri Anas haa?!” Isteri aku cuba memutar belit situasi.

Dalam keadaan tu, umpama aku pula yang bersalah. Sedangkan aku hanya berhubung kali pertama dengan isteri Anas beberapa jam sebelum aku tangkap mereka berdua berkhalwat.

Itupun melalui panggilan telefon. Tiada apa yang aku burukkan, hanya ceritakan hal yang sebenar.

“Eh Napi, kau tak kenal lagi aku sape..!” Anas cuba berlagak hero.

Isteri aku cuba mendekati aku untuk membela Anas apabila melihat aku ingin mencekak baju anas.

Isteri aku terus memaki dan cuba menegakkan benang yang basah sambil tangannya cuba menunjal kepala aku dengan telefon bimbitnya. Umpama Anas sang suami dan aku ni pula orang luar.

Aku pantas merampas telefon bimbit dari tangannya itu dan kami bergelut. Isteri aku tidak bertudung dan memakai pakaian yang sesuai sedangkan beliau bertudung sepanjang perkahwinan kami.

Hati aku patah dan kecewa. Dia terus mengasari aku dengan menumbuk beberapa kali dan mencekik untuk mendapatkan telefon bimbitnya kembali.

Keadaanya ketika itu seperti sedang meroyan umpama ada sesuatu yang disembunyikan. Dalam keadaan itu, tangannya yang menumbuk terkena gigi aku dan bibir aku pecah.

Aku masih waras dan tidak sesekali akan memukulnya walaupun mereka berdua sangat layak dipukul. Aku hanya bertahan dan tidak membalas.

Keadaan kembali tenang apabila aku mengeluarkan telefon bimbit aku untuk menefon polis. Anas memanggil isteri aku untuk beredar dan mereka berdua terus beredar dari situ.

Allahuakbar.

Usai solat Subuh, aku terus ke Balai Polis berhampiran membuat laporan tentang kejadian ditemani rakan aku yang aku anggap seperti abang aku sendiri yang menasihati aku supaya menggunakan saluran undang-undang tanpa sebarang kekerasan.

Silap aku tidak membawa seorang pun saksi bersama aku semasa kejadian.

Aku dimaklumkan isteri aku turut membuat laporan polis tentang kejadian sebelah petang lebuh kurang jam 4.30 petang hari yang sama.

Akibat dari laporan yang dibuatnya. Aku ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap dan tido semalam dilokap , dan siasatan dibuka sebulan lebih selepas waktu kejadian kerana siasatan dibuka dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dakwaannya dalam laporan aku menggigit tangan sehingga mendatangkan kecederaan kepadanya.

Selepas itu aku dituduh di mahkamah Majistret Shah Alam.

Bersambung…

P/s: Penceritaan ini bukan untuk membuka aib sesiapa atau memburukkan mana-mana institusi, tetapi bertujuan sebagai pengajaran dan peringatan kita bersama supaya dijadikan iktibar.

BACA: Suami terkejut isteri dan anak hanya tinggal rangka selepas bertahun tak balik rumah