Seorang wanita nekad mahu mencari jodoh daripada kalangan pemuda yang ‘jahat’ meskipun keputusannya itu tidak dipersetujui oleh ibu kandungnya sendiri.
Bukan sengaja atau sekadar mengikut ‘trend’, keputusan itu diambil kerana gadis berkenaan mahukan jodoh yang sekufu memandangkan dirinya bukan di kalangan orang baik.
Menyimpan harapan agar dapat berubah dengan bakal suami bersama-sama kelak, berikut perkongsian wanita yang memiliki perspektif berbeza mengenai sikap segelintir lelaki.
“Disebabkan satu pernyataan, aku dengan mak pernah bergaduh. Mak cakap, ‘orang lain semua doa mahukan jodoh yang baik-baik,
tetapi kau pula nak yang jahat. Guna akal dahulu sebelum bercakap’.
Aku tak nafikan mungkin 99.9 peratus wanita dalam dunia ini mengidamkan jodoh yang baik. Namun tidak bagi aku.
“Sebabnya, aku sendiri bukanlah perempuan yang baik. Kerana sedar diri, aku mahu seseorang yang sekufu atau sama taraf dengan aku sebagai jodoh. Jika sebut lelaki jahat, mesti orang fikir mereka teruk dan tak layak dijadikan suami. Katanya pemuda seperti ini perlu dielakkan, lagi-lagi daripada dibuat sebagai menantu.
“Tetapi macam mana pula dengan lelaki jahat yang akhirnya berubah jadi baik? Atau lebih baik berbanding orang yang memang dari mula lagi baik? Lelaki yang tidak baik di masa lalunya berbeza dengan pemuda yang tak pernah terjebak dalam kejahatan. Kadang-kadang mereka puas dengan perkara yang pernah berikan ‘keseronokkan’.
“Jadi, mereka putuskan untuk berubah dan tidak lagi berminat untuk terlibat dengan perkara-perkara jahat lagi. Kiranya sudah cuci tangan dari hidup lama dan bersedia untuk membina hidup baru yang lebih baik. ‘Lelaki jahat’ seperti itulah yang aku nak. Bagi aku, lebih baik dapat jodoh yang dulunya jahat.
“Tetapi akhirnya dia berubah jadi baik. Berbanding dapat seseorang yang mula-mula sahaja baik, namun berubah 360 darjah. Prinsip aku adalah, pengakhiran seseorang itu lebih penting dari permulaannya. Jahatlah macam mana sekalipun, aku tetap tak akan tinggalkan dia apabila sudah sayang. Syaratnya, dia sudah berubah.
“Kalau baik boleh jadi jahat, tak akanlah yang jahat tak boleh jadi baik kan? Kawan aku dahulunya seorang yang sangat suka mainkan hati perempuan. Sekali bercinta, mesti sangkut empat ke enam orang sekaligus. Ada juga wanita yang hampir gilalah dipermainkan oleh dia. Tetapi selepas kahwin, dia sangat setia kepada isterinya.
“Pernah ada orang tanya kawan aku, ‘kau tak rasa nak ada yang kedua ke?’. Kawan aku jawab, dia sudah puas jadi buaya. Tak seronok pun, lagi serabut ada. Sekarang, isteri adalah segalanya bagi dia. ‘Kemahiran’ jadi buaya darat terutamanya bercakap manis, kawan aku gunakan untuk bahagiakan isterinya.
“Cuma bezanya adalah dahulu, kawan aku hanyalah main-main. Sekarang dia ikhlas lakukan untuk isterinya.” Kongsi gadis yang menggelarkan dirinya Cik Black menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.