Kini sedang hangat di internet mengenai kehilangan kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna hitam milik pelakon Remy Ishak, yang dilaporkan hilang malam tadi berhampiran kediamannya.
Kenderaan dengan nombor pendaftaran WSB 7332 itu merupakan aset pertama yang dibeli Remy hasil kerja kerasnya sebagai anak seni.
Menurut laporan RotiKaya, kereta tersebut telah digunakan oleh beliau untuk urusan kerja dan peribadi sejak enam tahun lalu.
“Kereta ini menyimpan banyak kenangan dalam hidup saya. Walaupun sedih, saya reda dengan apa yang berlaku dan percaya ada hikmah di sebalik ujian ini,” kata Remy kepada Harian Metro hari ini.
Berita kehilangan ini mula tular di media sosial, dan rakan-rakan artis turut membantu menyebarkan maklumat dengan repost status Remy Ishak.
Menurut Remy, sebelum insiden berlaku, beliau menghadiri sesi latihan pementasan teater Cinduo Mato di Istana Budaya, Kuala Lumpur, bersama beberapa artis lain. Selepas itu, beliau singgah di sebuah kedai berhampiran kediamannya untuk membeli barang keperluan.
“Sebaik sahaja kembali dari kedai, saya dapati kereta sudah tiada. Saya segera menghubungi seorang rakan, dan kami membuat laporan di Balai Polis Serdang dalam masa setengah jam selepas kejadian,” tambahnya.
Melalui statusnya di media sosial, Remy menulis, “Aku penat baru balik kerja, kau curi kereta aku. Jika ada sesiapa ternampak, sila hubungi 013-6293825,” dengan nada penuh kesedihan.
Remy turut memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kenderaan tersebut dan menghubungi beliau atau pihak polis jika mempunyai maklumat.
Semoga Remy Ishak tabah menghadapi ujian ini. Mungkin ia adalah petanda rezeki yang lebih baik menanti di masa hadapan.
BACA; Jambatan di Port Dickson rupanya pintu penghubung alam manusia dan bunian