”Kenapa aku masih tak tenang?,” itu persoalan yang selalu bermain di minda seorang wanita selepas enam bulan menjadi isteri kepada lelaki paling dicintainya.
Berjaya melangsungkan perkahwinan selepas mengatur pelbagai strategi, rumah tangga wanita dikenali sebagai Nur itu retak selepas tidak sampai setahun menikah.
Difahamkan, Nur sebelum ini merampas suaminya yang merupakan kekasih orang kerana memiliki kasih sayang cukup mendalam terhadap bekas rakan sekelasnya itu.
Meskipun penyesalan telah timbul di dasar hati, berikut perkongsian Nur yang masih mahu berjuang bagi meraih cinta sang suami demi menyelamatkan perkahwinannya.
“Assalamualaikum semua. Nama aku Nur, berusia 28 tahun. Aku mahukan pendapat kamu semua.
Sebenarnya dari mula, hanya aku yang inginkan suami. Dia tak memilih aku pun dari awal. Rasanya ini kesilapanku. Kami sama-sama bekerja dalam sektor kerajaan, tetapi berlainan kementerian.
“Kenal dengan dia dari umur 18. Tetapi setakat kenal macam itu sahajalah. Suami itu bekas rakan sekelasku. Selepas belajar, kami terputus hubungan. Sewaktu itu, suami sudah ada teman wanita. Aku juga ada kekasih. Kemudian pada tahun 2022 yang lalu, kami terjumpa semula.
“Masa itu, baru berpindah semula di cawangan tempat kelahiran sendiri iaitu di Johor. Suami juga sama. Kami pun bertegur semula sebagai kawan sahaja. Tetapi kebetulan, nenek dia sakit. Jadi, suami minta tolong untuk uruskan temu janji dan perubatan nenek dia itu. Dipendekkan cerita, memang dalam hati ini sukakan dia.
“Tertarik sebab suami ini lelaki yang baik, ‘family man’. Tetapi sayangnya, dia dah ada kekasih. Teman wanita suami aku kenal, junior kami. Cantik orangnya, ayu pula. Berpakaian sopan, budak pandai dan juga bakal guru. Tetapi silapnya di sini, rasa diri ini lebih layak untuk suami. Sebabnya aku yang kenal suami dulu.
“Jadinya, lagsung tak kisah dia sudah ada kekasih. Nenek dia pun berkenan disebabkan aku selalu uruskan temu janji dan perubatan dia. Nenek suami selalu ajak ke rumah mereka. Setiap kali ada majlis, memang mak suami sendiri juga selalu jemput datang. Masa ini, suami di Kedah kerana bekerja di sana.
“Kekasih dia tak pernah diajak ke rumah itu. Sebab masih belajar, praktikal guru. Usia kekasih dia dengan kami berdua beza tiga tahun sahaja. Aku ada ikuti kekasihnya di sosial media. Suka cara dia, matang. Tetapi diri ini sudah bernekad untuk memiliki suami. Walaupun sudah tahu, dia tak sukakan aku pun.
“Pentingkan diri kan? Dipendekkan cerita, suami hanya anggap aku sebagai kawan. Tetapi selepas setahun berlalu, ibu bapa dia mula tanya bila kami berdua nak kursus kahwin. Suami tahu perkara ini pun last minute. Padahal, dia sudah lama pergi kursus kahwin dengan kekasihnya.
“Tetapi sebab keluarga suami bersetuju, jadi aku tetap teruskan. Kekasih dia langsung tak tahu tentang perkara ini. Memang satu kesilapan besar. Suami cakap, walaupun keluarga sudah berkenan, dia tetap akan tunggu kekasihnya. Pergilah kursus kahwin seorang diri.
“Tetapi disebabkan aku ingin memiliki suami, rela datang ke rumahnya melawat untuk mengambil hati keluarga. Tidak lama kemudian, keluarganya meminta kami berdua bertunang. Suami sejujurnya memang tak mahu, tetapi dipaksa. Dia memang tak pernah sukakan aku.
“Tetapi nak buat macam mana, keluarga suami berkenan dengan aku. Bukan kekasih dia. Mungkin mereka rasa dia masih budak lagi. Suami sebagai family man akhirnya akur dan kami bertunang. Masa bertunang, suami masih berjumpa dengan kekasih dia. Tahu yang wanita itu patah hati.
“Aku tak kisah, janji dapat berkahwin dengan suami. Aku yakin, suami jenis yang akur pada keluarga. Dia tak akan berani putuskan tunang atau batalkan perkahwinan. Lebih lagi kalau melibatkan keluarga. Kekasih dia sebenarnya ada hantar pesanan padaku di Facebook kerana inginkan kepastian. Tapi ya, diri ini yang bodoh.
“Terus sekat kekasih dia di Messenger. Sebab, rasa diri ini lebih layak untuk suami. Dan selepas dua bulan, kami pun selamat bernikah. Pada mulanya, rasa sangat bahagia sebab berjaya kahwin dengan lelaki pilihan. Tetapi entah kenapa masih rasa tidak tenang. Dia pun selalu cakap, kalau bukan sebabkan kehendak keluarga, perkahwinan ini tidak kan terjadi. Dia masih sayangkan kekasihnya.
“Tetapi keluarga dia memang terima sebab aku sudah bekerja tetap. Jauh di hati, memang rasa kasihan kepada kekasihnya tetapi kami berdua sudah pun menikah. Suami selalu memuji bekas kekasihnya di depanku sebagai isterinya. Dia masih menghubungi kekasihnya. Aku yang bersalah dalam hal ini.
“Sepatutnya, tak boleh pentingkan diri dalam hal ini. Sekarang ini, sudah enam bulan kami berkahwin. Tetapi masih belum rasa bahagia sebab suami masih ingatkan kekasihnya. Apa tindakan seterusnya? Aku tahu, mungkin suami memang jodohku. Tetapi kenapa aku masih tak tenang?.” Soal wanita itu di sebuah forum atas talian.