Akibat tak dengar cakap mak disuruh jaga adik 2 tahun, lelaki ini kongsi kisah sedih adik termakan racun tikus.
SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Begitulah perumpamaan yang sesuai dengan kisah seorang lelaki yang mahu memperbaiki kesilapannya jika masa boleh diundurkan semula.
Melalui satu perkongsian di Twitter, dia menceritakan bagaimana kealpaan dirinya pada 26 tahun lalu telah mengorbankan nyawa adiknya sendiri.
Perkongsian asal di Twitter.
Dikenali sebagai Redza Aydan, segalanya bermula apabila ibunya meminta bantuan untuk menjaga adik di rumah.
“Aku darjah dua waktu tu. Akal tak berapa ada, mak minta aku jagakan dan perhatikan arwah adik aku.
“Mungkin kebodohan aku tak dengar cakap atau memang takdir dah ditulis macam tu, aku langgar arahan dan keluar dengan kawan main bola. Adik aku ditinggalkan macam tu je.
“Bila aku balik, semua kerumun keliling rumah sebab arwah adik aku terkunci dalam rumah. Mak aku dan abang aku semua dekat tingkap intai adik aku waktu tu,” kata Redza.
Menurut Redza lagi, mereka cuba memanggil adiknya dari luar rumah tetapi dia masih terlalu kecil untuk memahami apa yang sedang berlaku.
“Aku tengok adik aku naik turun tangga menangis cari aku dan mak aku. Aku cuba panggil adik aku melalui tingkap kaca. Adik tak perasan. Akhirnya ada orang tolong pecahkan satu bilah cermin dan ketuk jeriji besi sampai jatuh.
Aku dah lihat banyak kematian dan ini yang masih berbekas di hati sampai ke hari ni.
“Aku panjat dan masuk dalam rumah. Bila kaki jejak lantai, aku terus berlari peluk dia. Waktu tu aku sama naik menangis dengan adik aku tu. Aku rasa bersalah sangat tinggalkan dia seorang diri.
“Bila abah balik lewat malam, aku kena marah lagi sampai aku berjuraian air mata,” cerita Redza.
Disangka segalanya sudah selesai, kesilapan Redza itu ternyata dihukum dengan ‘hukuman’ jauh lebih keras.
Ketika kejadian, Redza hanya berumur 8 tahun dan kini dia berusia 34 tahun.
“Malam tu tiba rumah-rumah jadi bising, sebab muka adik aku biru. Abah terus start enjin kereta dan bawa semua ke klinik. Kemudian klinik tu tolak adik aku ke hospital daerah.
“Hospital daerah pula terus hantar adik aku ke hospital negeri melalui ambulans, badan adik aku dicucuk sana sini dengan wayar. Itulah sebenarnya kali terakhir aku akan nampak adik aku masih bernyawa.
“Dekat hospital negeri aku dah tak nampak langsung adik aku, aku cuma diberitahu dia sedang dirawat. Kami sabar menunggu di ruang pelawat sehingga ke pagi.
Pemergian yang tersayang pastinya akan diratapi keluarga. -Gambar hiasan
“Apabila hampirnya masuk waktu subuh, kami dikejutkan dengan satu berita yang aku susah nak terima sampai sekarang, adik aku dah tak ada,” kata Redza luluh hatinya.
Tidak cukup setakat itu, punca kematian adiknya juga ternyata menyebabkan Redza diselubungi rasa bersalah yang tidak terhingga.
“Kami dimaklumkan adik meninggal kerana termakan racun. Kami suspek racun tikus dekat bawah tangga rumah, mungkin dia makan waktu terkurung dalam rumah seorang diri.
Cepat atau lambat, liang lahad akan menjadi destinasi terakhir setiap insan. -Gambar hiasan
“Selepas jenazah adik aku disempurnakan dan dikafankan, kami bawa jenazah adik balik ke kampung. Dari Kuala Terengganu ke Dungun, sepanjang perjalanan tu aku pangku jenazahnya. Keras badan adik aku.
“Sepanjang perjalanan tu juga aku tak berhenti menangis sampai air mata menitik terkena adik, sampai basah kain kafan. Aku tak berhenti salahkan diri aku. Aku tak boleh terima takdir.
“Hanya tuhan je yang tahu betapa menyesalnya aku,” kata Redza sebak.
Fikiran Redza pada ketika itu berkecamuk dan dia tidak mampu untuk menghadam apa yang baru sahaja berlaku.
Sebahagian ciapan balas warga maya.
“Sampai kampung, jenazah dikebumikan di sebelah kubur Tok Ki. Selesai semua, aku duduk lama dekat kepuk nisan dengan air mata yang tak tahu bila nak kering.
“Sebolehnya aku nak korek balik kubur tu dan nak cakap dekat arwah yang aku minta maaf sebab tak jaga dia. Mak aku pujuk aku dengan cakap yang kita akan jumpa semula adik di syurga nanti.
“Aku dah lihat banyak kematian dan ini yang masih berbekas di hati sampai ke hari ni. Aku minta maaf sangat Meri (arwah adik), waktu tu abang tak kenal lagi erti tanggungjawab.
“Kalau ada peluang kedua, abang akan jaga adik sebaik-baiknya,” kata Redza menutup bicara
BACA:
Ahli perniagaan ini dedah gaji sebenar pekerja pembersihan Masjidil Haram, ramai tak sangka..
Gara-gara cuba rogol remaja lelaki, dua gadis 15 tahun ditahan Polis