Hakikatnya, bumi ini bukan sahaja didiami manusia dan makhluk hidup lain, tetapi turut dihuni entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar
. Makhluk-makhluk ghaib ini hanya boleh disaksikan oleh individu yang dikurniakan kelebihan deria keenam.
Namun, sama ada anugerah ini dianggap sebagai kelebihan atau sebaliknya bergantung kepada perspektif individu.
Dalam satu video terbitan ML Studios di YouTube, seorang gadis bernama Ainaa Afifah berkongsi pengalaman istimewanya
Dia dapat melihat makhluk ghaib sejak usia sembilan tahun, apabila hijab pandangannya ‘dibuka’.
Pengalaman Pertama Bertemu Makhluk Ghaib
Ainaa, yang lebih mesra disapa Ifa, menceritakan peristiwa pertama kali melihat makhluk ghaib ketika keluarganya menetap di Sik, Kedah.
Ketika itu, Ifa masih kecil, dan keluarganya baru berpindah ke rumah sewa selepas bapanya dipindahkan dari Alor Setar.
“Waktu darjah tiga, pandangan Ifa mula terbuka. Suatu malam, abah demam dan minta Ifa ambilkan ubat di dapur. Selesai ambil ubat dan air, tiba-tiba Ifa rasa angin kuat di belakang, dan baju Ifa bergerak.
Ifa toleh ke belakang dan nampak ‘benda’ itu tengok Ifa. Dia lari dengan laju dan tembus ke dinding tandas,” ceritanya.
Reaksi dan Keputusan Berubat
Kejadian tersebut diceritakan kepada ibunya keesokan hari. Selepas berbincang, ibu bapanya membawa Ifa berubat. Menurut ustaz, hijab Ifa telah terbuka, membolehkan dia melihat makhluk ghaib.
Ifa mengakui bahawa pengalaman itu pada mulanya membuatkan dia tertekan, namun lama-kelamaan dia menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka.
Pengalaman Sehingga Kini
Hingga kini, Ifa masih mampu melihat makhluk halus, tetapi bersyukur tidak pernah mengalami gangguan seperti histeria. Dia percaya keadaan ini ada hikmah, malah beberapa ustaz pernah memuji kekuatannya dalam menghadapi situasi tersebut.
“Ustaz cakap, sekarang Ifa minta mereka ubatkan, tapi tak mustahil satu hari nanti Ifa pula yang akan mengubat orang lain. Alhamdulillah, Allah menjaga Ifa,” tambahnya.
Hikmah di Sebalik Ujian
Ifa menutup perkongsian dengan rasa syukur kerana tidak pernah menghadapi pengalaman buruk walaupun sering melihat makhluk ghaib. Baginya, ia adalah anugerah yang perlu dimanfaatkan dengan baik.
BACA: Zara Zya tamatkan zaman bujang di Thailand? Tuan badan tampil jawab khabar angin