Akibat kluster baru di Rembau, bilangan zon merah Covid-19 meningkat

Akibat kluster baru di Rembau, bilangan zon merah Covid-19 meningkat

Jumlah kawasan zon merah Covid-19 meningkat kepada 11 semalam – naik satu kawasan berbanding hari sebelumnya – ekoran peningkatan kes baru di Rembau.

Rembau merekodkan peningkatan jumlah kes aktif Covid-19 dari tujuh ke 59, menyebabkan daerah tersebut yang sebelum ini zon kuning ditukar status ke zon merah, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).

Zon kuning merujuk kepada daerah yang mempunyai satu hingga 40 kes aktif Covid-19 manakala di kawasan zon merah pula mempunyai lebih 40 kes.

Daerah yang bebas Covid-19 akan dilabel sebagai kawasan zon hijau.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan bahawa penularan wabak Covid-19 telah berlaku di sebuah kilang di Pedas, Rembau yang melibatkan pekerja asing.

Beliau berkata, pesakit indeks merupakan seorang pekerja kilang yang menunjukkan gejala jangkitan wabak pada 5 April lalu, dan didapati positif pada 12 April.

Sejumlah 786 kakitangan kilang dan rakan kepada pesakit indeks terbabit disaring.

Sepuluh kawasan zon merah yang lain ialah Ibu Kota (144), Kampung Baru (67) dan Sri Petaling (45) di Kuala Lumpur, Kuching (100) dan Kota Samarahan (43) di Sarawak, Gombak (80), Hulu Langat (55) dan Petaling (53) di Selangor, Kluang (49) di Johor.

Sementara itu, jumlah kawasan zon kuning kekal 77 dan zon hijau sebanyak 113.

.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/524832

COMMENTS