Akibat hutang ahlong RM20,000, bapa tergamak tinggalkan 3 anak kecil kerana ketakutan diburu ahlong

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Akibat berhutang lebih RM20,000, seorang bapa tergamak meninggalkan tiga anaknya yang masih kecil kerana ketakutan diburu along.

Lelaki itu yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik turut memutuskan hubungan dengan abang

Dan ibunya selepas melarikan diri dari rumahnya di Taman Ehsan Jaya di sini, Ahad lalu.

Akibat hutang ahlong RM20,000, bapa tergamak tinggalkan 3 anak kecil kerana ketakutan diburu ahlong

Abangnya, Ng Leong Kuo, 41, berkata, sebelum itu, adiknya meninggalkan tiga helai surat yang ditulis dalam bahasa Mandarin

Dia mengatakan dia sekali lagi membuat pinjaman dengan along dan menyerahkan tiga anaknya kepada mereka untuk dijaga.

“Dua daripada tiga helai surat yang ditinggalkan itu mengandungi 27 akaun keldai dan dia mahu saya atau keluarga membayar hutang selepas terbabit perjudian dalam talian.

“Susulan itu saya cuba menghubungi adik saya, namun gagal berbuat demikian termasuk akaun media sosialnya sudah ditutup,” katanya pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di Taman Johor Jaya di sini pada Sabtu.

Apa yang lebih mengecewakan, Leong Kuo berkata, adiknya sanggup menyerahkan salinan kad pengenalan, nombor telefon, alamat dan bil elektrik rumah ibunya di Johor Jaya kepada kumpulan along untuk menuntut hutang.

“Tindakan tidak bertanggungjawab adik saya ini meletakkan ibu dan tiga anak saudara saya dalam bahaya apabila sering diganggu dengan panggilan ugutan along.

“Kami tidak mahu ada kaitan dengan dia lagi yang sudah memutuskan hubungan keluarga. Kami minta dia pulang selesaikan masalah sendiri,” katanya.

Leong Kuo berkata, sudah tiga kali adiknya meminjam wang daripada along dalam tahun ini dan sebelum ini dia sudah menyelesaikan lebih RM60,000 hutang adiknya itu.

“Kali ini dia buat hutang lagi dan saya sudah tiada duit mahu bayar, ibu juga sudah tua. Saya tiada duit, yang berhutang adalah dia, jadi pergi cari dia, jangan ganggu kami,” ujarnya.

Katanya, selain dirinya dan ibu diganggu dengan panggilan ugutan along, bekas isteri adiknya juga diganggu supaya membayar hutang tersebut.

“Ibu saya sangat bimbang dan takut, nak tidur malam pun tak tenang bimbang dengan keadaan cucu. Along ada beritahu jika saya tak beri maklum balas tentang permintaan mereka, mereka akan guna ejen untuk melakukan ugutan lebih kasar.

“Saya bimbang kerana saya bekerja di China, tiada di rumah jika berlaku sesuatu pada keluarga,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Plentong pada Ahad lalu.

Sementara itu Cai Tung berkata, sebagai individu dewasa, melarikan diri bukan penyelesaian masalah jangka panjang.

“Saya minta supaya along jangan ganggu keluarga ini, cari mereka yang berhutang dengan anda, bukan keluarganya,” katanya.