Sifat kemanusiaan yang tinggi yang ditunjukkan oleh Malaysia telah mendorong ramai pendatang asing tanpa izin (PATI), khususnya etnik Rohingya, untuk mempertaruhkan nyawa demi memasuki negara ini.
Profesor di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, menjelaskan bahawa
impian etnik Rohingya untuk masuk ke Malaysia begitu kuat, sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk membayar sindiket untuk merosakkan enjin bot mereka hanya demi sampai ke perairan negara.
Menurut beliau, walaupun kes tersebut sengaja dilakukan untuk menarik perhatian pihak berkuasa Malaysia, negara ini tetap mengutamakan prinsip kemanusiaan
Dengan memberikan bantuan kepada mereka yang tersadai di laut. “Kami tidak boleh membiarkan mereka mati atau terlibat dalam kemalangan di tengah laut, walaupun kami tahu perbuatan itu adalah sengaja,” katanya.
Prof Mohd Mizan turut menegaskan bahawa Malaysia sentiasa berusaha untuk membantu atas dasar agama dan ummah, namun malangnya, sesetengah pihak seperti etnik Rohingya, sering mengambil kesempatan atas kebaikan yang diberikan negara ini.
Malah, beliau menyatakan bahawa etnik Rohingya tidak akan bertahan lama di negara jiran dan hanya akan menjadikannya sebagai tempat transit sebelum mereka terus berusaha memasuki Malaysia. “Contohnya, setelah sampai ke Acheh, destinasi seterusnya tetap Malaysia,” jelasnya.
Sebagai penyelesaian, beliau mencadangkan agar Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, bekerjasama dengan kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.
Namun, kedua-dua negara harus turut menyokong usaha Bangladesh dalam memperkukuhkan Pulau Bashar Chan sebagai destinasi pelarian yang lebih selamat.
“Sekiranya mereka dapat dipindahkan ke Pulau Bashar Chan, ini akan mengurangkan tekanan kepada Malaysia. Kita harus tegas dalam menyekat mereka daripada memasuki perairan negara ini, kerana jika mereka sudah sampai, pelbagai isu akan timbul seperti hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan,” katanya lagi.
Prof Mohd Mizan juga mencadangkan agar Malaysia menolak bot-bot yang cuba memasuki perairannya dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak cuba mendekat lagi.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya kerjasama antara Malaysia, Bangladesh, dan Myanmar untuk memperkuatkan tindakan pencegahan dan sekatan terhadap kapal yang cuba meninggalkan negara mereka.
Meskipun cubaan memasuki negara ini sentiasa ada, beliau percaya dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, Malaysia mampu mengurangkan aliran masuk pendatang asing tanpa izin, sekali gus mengelakkan negara ini menjadi pilihan utama bagi etnik Rohingya.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa sebuah bot yang membawa 196 etnik Rohingya telah mendarat di Pantai Awam Teluk Yu, Langkawi pada 3.25 pagi Jumaat lalu, dan kesemua pelarian tersebut telah ditahan pihak berkuasa.
Pada hari berikutnya, dua bot yang membawa kira-kira 300 PATI dari Myanmar juga telah diusir oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia setelah mereka berjaya mengesan kedudukan bot tersebut di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.
BACA: Bukti undang-undang 2 darjat, lelaki ini dipenjara hanya curi sardin