Akhirnya Daroyah isytihar keluar Keadilan

Akhirnya Daroyah isytihar keluar Keadilan

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Daroyah Alwi, yang juga Adun Sementa mengumumkan keluar dari PKR.

Beliau merupakan wakil rakyat terbaru yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu.

Timbalan Ketua Wanita PKR itu berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhada kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Saya bernombor ahli B1800073914 dengan ini ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai timbalan ketua Wanita PKR pusat, serta keluar dari parti berkuat kuasa hari ini.

“Keputusan ini dibuat kerana saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada presiden juga parti yang alpa tentang idealisme perjuangan serta hala tuju parti,” katanya dalam sidang media hari di Shah Alam, hari ini.

Tindakan Daroyah meninggalkan PKR sememangnya sudah dijangka kerana beliau dilihat berada dalam kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin.

Kedudukan Daroyah dalam PKR sedikit tergugat apabila Azmin bersama kemnya bertindak keluar parti menyertai Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada 4 Mac lalu, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR pada Mac lalu mendesak Daroyah dan ketuanya, Haniza Mohd Talha supaya menyatakan pendirian secara jelas mengenai sokongan Anwar.

Daroyah sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati dengan penggantungan ketua Wanita PKR dan Adun Lembah Jaya Haniza Talha.

Daroyah dalam sidang medianya turut menyifatkan Anwar dan “pentaksubnya” gagal menjalankan amanah majoriti yang memilihnya.

Lebih malang lagi, kata Daroyah, mereka yang selama ini berkorban dengan parti telah menjadi mangsa melalui siri terancang pemecatan anggota parti itu.

Jelas Daroyah, beliau juga turut dikenakan surat tunjuk sebab kerana mempertahankan barisan kepimpinan wanita yang dikenakan tindakan tidak adil.

Justeru, tambahnya, beliau tidak mahu lagi terbabit dengan kancah perebutan kuasa politik serta pembuangan ahli beramai-ramai kerana perjuangan PKR bukan lagi untuk agenda reformasi sebaliknya bagi mendapat kuasa politik.

“Saya juga mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai ketua Wanita PKR negeri Selangor. Keputusan saya keluar parti hari ini tidak bersendirian, malah rasa yang sama turut dikongsikan oleh 13 lagi pimpinan wanita PKR Selangor.

“Saya juga meletakkan jawatan sebagai ketua cabang Kapar bersama ahli-ahli jawatankuasa Kapar termasuk pimpinan sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK),” katanya lagi.

Jelasnya, selaras dengan keputusannya itu, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Adun dengan efektif bagi rakyat kawasan itu.

Katanya, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti dan akan bergerak sebagai Adun Bebas.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/530069

COMMENTS