AJK UMNO Puchong ditangkap jerut leher isteri hingga mati?

AJK UMNO Puchong ditangkap jerut leher isteri hingga mati?

Berang dengan tindakan isteri mahu failkan pengesahan cerai, seorang lelaki menjerut leher wanita itu, yang juga seorang pensyarah dengan tudung hingga mati.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, lelaki itu kemudian meninggalkan mayat isterinya di dalam kereta mereka berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

Suspek yang berusia 42 tahun itu kemudian pulang ke rumah mereka di Putra Perdana, dekat sini, kemudian mengajak anak perempuan mereka yang berusia 14 tahun keluar mencari isterinya itu dengan perkhidmatan e-hailing.

Bagaimanapun, tembelang lelaki itu dihidu pihak berkuasa apabila siasatan mendapati pasangan itu mempunyai masalah rumah tangga dan dia kemudian mengaku menjerut leher isterinya dengan tudung.

Pasangan itu berkahwin sejak 15 tahun lalu dan isterinya bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti awam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata kira-kira jam 1 pagi pada 30 Julai, Balai Polis Cyberjaya menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan isterinya yang berusia 40 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta berhampiran tasik berkenaan.

Beliau berkata, suspek memaklumkan kepada polis kononnya menemui mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak jam 4 petang Rabu dan menemuinya dalam keadaan tidak bergerak.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa manakala gelang emas yang dipakainya masih ada di tangan kiri namun telefon bimbit dan beg duit, hilang.

Bagaimanapun, helah suspek terbongkar apabila bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Serdang mendapati wanita itu mati akibat dijerut (compression of neck).

“Siasatan yang dijalankan ke atas suami mangsa mendapati hubungan kedua-duanya mempunyai masalah kerana si suami ada melafazkan cerai pada 24 Jun 2020.

“Kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 30 Julai sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menahan seorang lelaki di perkarangan Hospital Serdang, Selangor.

“Suspek kemudian mengaku menjerut leher mangsa menggunakan tudung yang dipakai sehingga mati ketika berada di dalam kereta Produa Myvi di Taman Mas, Putra Perdana,” katanya kepada pemberita.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek kemudian menunjukkan tempat barang milik mangsa dibuang di hadapan Masjid Putra Perdana dan sehelai baju kemeja batik berwarna hitam.

Katanya, lelaki itu juga menunjukkan lokasi dia membuang telefon milik mangsa jenis Samsung yang sudah dipecahkan dengan batu, di dalam tasik di Taman Putra Perdana namun telefon itu tidak ditemui.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menjerut leher mangsa kerana terlalu marah selepas mereka bertengkar mengenai hasrat wanita itu untuk memfailkan perceraian.

Katanya, selepas menjerut leher mangsa sehingga mati, suspek memandu kereta ke Tasik PKNS di Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang sebelum memindahkan mayat mangsa ke tempat duduk pemandu.

“Suspek mengambil dompet dan telefon si mati dan meninggalkannya di dalam kereta dalam keadaan enjin dihidupkan.

“Lelaki itu mengaku membunuh mangsa kerana marahkan wanita itu yang tetap mahu bercerai,” katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek ditahan reman sehingga 6 Ogos ini.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/717244/pensyarah-dijerut-dengan-tudung

COMMENTS