Pemain keyboard Exists dan komposer, Ajai, 49, berpendapat masalah pengambilan dadah yang dialami penyanyinya, Mamat adalah kesilapannya sendiri.
Ajai berkata, hati Mamat sendiri tidak kuat hingga dia terjebak dalam perbuatan itu.
“Apa yang jadi bukan salah orang lain, tetapi berlaku sebab hati Mamat sendiri.
Hati dia sendiri yang tak kuat dan ‘on off’ benda itu,” katanya.Ajai berkata, Mamat sepatutnya perlu ada semangat kental dalam dirinya
untuk menolak pengambilan barang terlarang itu meskipun jika ada orang lain cuba memberikan kepadanya.
“Sebenarnya, ambil atau tak ambil benda itu terletak pada hati Mamat. Kalau ada orang cuba atau nak bagi dia sekalipun dan hati kamu tak nak, tidak jadi juga. Oleh itu, pucuk pangkalnya hati Mamat sendiri.
“Saya juga percaya setiap kesilapan yang dilakukan itu datangnya daripada diri kita sendiri dan bukan kerana dipengaruhi oleh mana-mana individu lain. Kita ada hati dan boleh fikir sendiri,” katanya ketika ditemui.
Selain itu, mengulas kenyataan pemain bass Exists, Musa Radhi yang menyifatkan kehidupan di kampung merosakkan Mamat, Ajai berkata, dia faham rasa kecewa seorang sahabat apabila melihat sahabatnya terus dibelenggu kesilapan berulang.
“Saya rasa apa yang diluahkan Musa pada kenyataan dikeluarkannya itu tidak bermaksud pun menyalahkan orang lain sepenuhnya. Cuma, dia dalam keadaan sedih dan hampa melihat nasib dihadapi Mamat.
“Sebagai sahabat Mamat dalam Exists, kami semua sayang dan sentiasa ambil berat mengenai dia. Kami juga selalu menasihatinya dan jaga dia dengan baik. Boleh dikatakan, Mamat nampak ‘fresh’ dan tiada masalah sekiranya dia ada bersama dengan kami,” katanya.
Baru-baru ini, Mamat yang berdepan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019, berjaya dalam rayuannya, namun dijatuhi hukuman denda RM4,000 serta dua tahun pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan.
Mamat yang tampil bersama Exists pada 1991 popular dengan lagu-lagu seperti Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan banyak lagi.
Bagaimanapun, Mamat meninggalkan Exists pada 1994 dan memilih bergerak sebagai penyanyi solo dan popular dengan lagu Salju Di Danau Rindu, Hanya Engkau Kekasih dan Inspirasi Kamar Hati.
Mamat mendirikan rumah tangga dengan Marshila Mustapha Kamal pada 2001, tetapi mereka yang dikurniakan tiga anak bercerai pada 2009.
Kini, Mamat juga mempunyai seorang cucu.