Air AKSB tak cukup, penduduk terpaksa ke Gua Musang untuk mandi

Air AKSB tak cukup, penduduk terpaksa ke Gua Musang untuk mandi

Masjid, surau dan rumah sanak saudara sekitar bandar Gua Musang menjadi sasaran 300 keluarga penduduk Taman Tuan Guru, Sungai Terah, untuk menumpang mandi.

Ini berikutan kemudahan bekalan air di kediaman mereka di taman itu yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Gua Musang, terputus sejak dua bulan lalu.

Penduduk, Mohd Shahidan Shafie, 22, berkata, masalah bekalan air terputus itu berlaku lima hari sebelum Ramadan sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk.

Menurutnya, ia berlarutan hingga sekarang dan bekalan air disediakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak mencukupi.

“AKSB berjanji untuk menghantar air menggunakan lori tangki setiap hari kepada penduduk, tetapi lain pula berlaku.

“Ini kerana air tidak dihantar dalam masa beberapa hari menyebabkan penduduk terpaksa pergi ke bandar Gua Musang untuk menumpang mandi di masjid dan surau,” katanya.

Peniaga kedai makan, Zulkifli Ab Rahman, 51, berkata, dia terpaksa meminta bantuan pemilik kenderaan pacuan roda untuk memunggah air dari sungai.

Dia berkata, jika tidak berbuat demikian sudah tentu kedai makannya tidak boleh beroperasi dan menjejaskan pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Apabila hujan, kurang sikit bebanan kerana saya menyediakan tangki besar untuk menadah air yang boleh bertahan sehingga lima hari.

“Penduduk tidak menerima penjelasan tepat daripada AKSB berhubung masalah itu, tetapi berharap ada tindakan segera untuk mengatasinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Operasi AKSB, Wan Khairuddin Wan Omar dalam kenyataannya berkata, masalah air dihadapi penduduk taman itu dalam perhatian pihaknya.

Beliau berkata, paip pecah sudah dapat dikesan dan kerja membaikinya sedang dilakukan dan dijangka siap pada 29 Jun ini.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/593452/parok-lagu-ni

COMMENTS