Ahli parlimen yang kata Pas tak pernah kafirkan sesiapa tu lahir tahun bila?

Ahli parlimen yang kata Pas tak pernah kafirkan sesiapa tu lahir tahun bila?

Ahli parlimen yang sebut Pas tak pernah kafirkan sesiapa (orang Islam) lahir pada tahun 1980. Paling awal dia kenal politik mungkin ketika usianya 20 tahun iaitu pada tahun 2000. Itu pun sudah dikira awal.

Jika dia kenal politik pada usia itu, jika politik itu sebuah buku, dia baru membaca mukaddimahnya sahaja. Dia mungkin khatam buku itu apabila tamat belajar, 5 tahun kemudian.

Tahun 2000 bukan lagi era ceramah di dengar melalui kaset. Itu juga era cakera padat, era reformasi, era Pas mula pandai berbaik-baik dengan DAP dan era Pas For All.

Ahli parlimen itu mungkin tidak pernah mencium udara “syahid Memali” kerana ketika peristiwa itu berlaku, usianya sekitar lima atau enam tahun. Masih menyanyi lagu Pasti.

Ketika Presiden Pas sekarang berada di puncak populariti sebagai penceramah ideolog Pas, peristiwa Memali, solat dua imam, tak makan kenduri orang Umno, tak solat jenazah orang Umno, nikahkan semula pasangan yang diakadnikah oleh imam Umno, ahli parlimen berkenaan masih berhingus untuk faham semua tragedi itu.

Ketika semua itu berlaku, aku yang berusia awal 20an pun sukar untuk faham dengan baik, apalah yang diharap daripada anak Pasti atau pelajar sekolah rendah untuk faham.

Apa yang aku sendiri faham berdasarkan ceramah yang aku dengar daripada kaset, Umno adalah parti tolak hudud, lawan hukum Allah dan mendokong perlembagaan penjajah. Dengan semua itu, Umno adalah parti kafir dan pemimpin serta pendokong Umno adalah kafir.

Pada ketika itu, dalam usrah, pertemuan tertutup, memang ditekankan sungguh-sungguh, kita lawan Umno kerana syahadah pemimpin Umno batal.

Antara kitab atau buku yang dirujuk ialah 20 Perkara Yang Membatalkan Syahadah yang dipetik daripada buku Syekh Said Hawa, kitab Mastika Hadis terbitan BAHEIS dan buku kecil Pembatal Syahadah yang dibekal kepada jemaah haji dan umrah oleh Arab Saudi.

Ahli parlimen itu mungkin tidak pernah dengar ceramah al-Marhum Ibrahim Libya secara langsung, “Malam ini setitik darah orang Pas tumpah…” saya tak sanggup nak sambung tulis. Dia mungkin tak pernah dengar kuliah pemimpin Pas, “Kalau dot dot dot mati, aku tak akan sembahyang jenazah dia…”

Dia mungkin tak pernah naik satu kereta dengan pemimpin Pas yang sudah sampai ke rumah jenazah tapi berpatah balik kerana jenazah itu orang Umno. Dia mungkin tak pernah dengar ceramah pemimpin Pas yang sebut, “Kalau dot dot dot tak kafir kerana tolak hukum Allah, kita nak panggil apa?”

Kita tak salahkan ahli parlimen itu kerana tak pernah dengar dan alami semua itu kerana itu bukan pilihan dia. Itu ketetapan Tuhan. Namun ahli parlimen itu punya peluang untuk memilih menjadi orang jujur dalam menilai dan membuat kesimpulan.

Memang ramai pemimpin Pas pada era ideolog menggunakan hujah orang Umno kafir sebagai proses indoktrinasi untuk mengekalkan pengaruh politik Pas.

Berapa banyak orang Pas yang sanggup putus saudara, putus suami isteri termasuk bapa tidak mengaku anak dan anak tidak mengaku bapa kerana berbeza ideologi politik yang digaul rapi dengan aqidah.

Jika kaset-kaset ceramah dan kuliah pemimpin Pas sekitar tahun 80an masih ada, pohon ahli parlimen berkenaan ambil masa untuk dengar.

Ya, bukan semua pemimpin Pas pada era itu bercakap sebegitu, tetapi ramai pemimpinnya yang masih bersama Pas pada hari ini, begitulah isi ceramah dan kuliah mereka.

Pemimpin utama Pas seperti Yusof Rawa dan Fadhil Noor tidak pernah merestui pendekatan sebahagian pemimpin Pas yang terlibat dengan takfiri.

Mereka fokus membawa Pas ke medan politik sebenar iaitu meraikan kepelbagaian. Hal itu boleh dilihat dalam ucapan perasmian muktamar kedua-dua pemimpin berkenaan.

Namun pemimpin muda Pas kini termasuk ahli parlimen itu mungkin kurang sedar, era pertengahan 80an adalah era Presiden Pas kini menguasai medan ceramah dan kuliah. Itulah era Masjid Rusila menjadi seolah-olah “kiblat” orang Pas.

Ahli parlimen itu mungkin tak pernah tahu bagaimana ceramah Fadhil Noor kurang diminati pada ketika itu berbanding ceramah Presiden Pas kini. Tahu tak kenapa jadi begitu? Sebab ceramah Fadhil tidak “tegas”, tidak “mantap” dengan soal aqidah.

Fadhil tidak seperti Presiden Pas kini yang ceramahnya disambut takbir bergema apabila berbicara soal aqidah dan perjuangan Pas. Ahli parlimen itu tahu atau tidak?

Presiden Pas kini menjadi idola orang Pas kerana membawa Islam yang tegas dengan aqidah. Era waman lam yahkum, era afahukmal jahiliyyati yabghun… Era sesiapa yang tolak hukum Allah menjadi kafir.

Itulah era lanjutan kepada era Amanat Banggol Peradong pada tahun 1981. Era ahli parlimen itu baru berumur setahun, lebih tua sedikit daripada jagung.

Tak salah ahli parlimen itu nak kata pemimpin Pas tidak pernah kafirkan orang Islam, tapi dia tak akan kata begitu kalau dia masuk Pas pada tahun yang sama dengan aku, tahun 1990, ketika usianya 10 tahun dan usia aku 23 tahun.

Sumber :