Ahli parlimen pembangkang sepakat tolak usul Muhyiddin tukar speaker

Ahli parlimen pembangkang sepakat tolak usul Muhyiddin tukar speaker

Pertahan kewibawaan Parlimen , tidak perlu tukar YDP Dewan Rakyat

Kerajaan telah mengemukakan usul untuk menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Ariff Yusof dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming. Kedua-dua mereka telah berkhidmat dengan penuh sikap profesional sebagai pengelola dan timbang tara Dewan yang mulia, dan tidak ada asas yang kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya.

Sejak pelantikan YB Tan Sri Yang di-Pertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen telah dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen. Langkah-langkah pembaharuan telah diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen. Antaranya termasuk menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Groups) untuk lebih merakyatkan Parlimen.

Parlimen merupakan institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat. Ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah.

Kami, Ahli-Ahli Parlimen dari parti-parti blok pembangkang, tidak bersetuju dan tidak menyokong cadangan penukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalannya kerana jawatan tersebut haruslah berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik.

YB Fahmi Fadzil, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Datuk Hasanuddin bin Mohd Yunus, Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Alice Lau Kiong Yieng, Parti Tindakan Demokratik (DAP)

YB Dr Maszlee Malik, Bersatu (Berprinsip)

YB Datuk Liew Vui Keong, Parti Warisan Sabah (WARISAN)

YB DS Wilfred Madius Tangau, United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO)

YB Baru Bian, Parti Sarawak Bersatu (PSB)

COMMENTS