ADUN Tronoh nafi sertai Gerakan

ADUN Tronoh nafi sertai Gerakan

Dua bekas Adun DAP yang kini menjadi wakil rakyat Bebas menyokong Kerajaan Perikatan Nasihat (PN) di Perak memberi penjelasan berbeza berkaitan spekulasi yang bertiup kencang bahawa mereka bakal menyertai parti Gerakan.

Ketika dihubungi, Adun Tronoh Paul Yong menafikan bahawa beliau telah menyertai Gerakan.

“Tidak. Saya tidak menyertai mana-mana parti sehingga kini. Saya masih ahli (Adun) Bebas,” katanya kepada Malaysiakini.

Yong berkata demikian ketika ditanya tentang ura-ura bahawa beliau bersama Adun Buntong A Sivasubramaniam akan menyertai Gerakan dalam masa terdekat.

Yong juga menafikan bahawa dirinya akan menyertai Gerakan pada masa akan datang.

“Saya tidak menyertai parti Gerakan. Saya masih Adun Bebas,” katanya ketika ditanya adakah beliau akan menyertai Gerakan selepas ini.

Sivasubramaniam pula berkata “tiada komen” ketika soalan yang sama diajukan kepadanya.

“Saya menyertai Gerakan? Tiada komen,” katanya.

Sebelum ini, sumber dalaman Gerakan mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa kedua-dua Adun berkenaan sedang berbincang untuk menyertai Gerakan.

“Mereka setuju menyertai Gerakan. Tetapi, ada beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.

“Kami percaya mungkin akan buat pengumuman dalam masa terdekat. Siapa tahu? Mungkin akan buat sidang media pada Jumaat (esok) ini kalau semuanya diperhalusi dengan baik,” katanya.

Untuk rekod, pada 9 Mac, Yong yang juga bekas bendahari DAP Perak bersama Sivasubramaniam bertindak keluar dari parti itu. Mereka kemudian mengisytiharkan sokongan terhadap PN.

Susulan keputusan mereka menyokong PN bersama empat Adun Bersatu dan seorang dari Amanah mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak tumbang.

Berita penuh:

https://www.malaysiakini.com/news/531726

COMMENTS