Adun Pas cadang guna kaedah rawatan Islam untuk rawat Covid-19

Adun Pas cadang guna kaedah rawatan Islam untuk rawat Covid-19

Selain rawatan moden, perubatan secara Islam juga boleh digunakan sebagai salah satu alternatif untuk dipertimbangkan oleh kerajaan bagi merawat pesakit Covid-19.

Saranan berkenaan disuarakan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah yang juga Perawat Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam).

Hilmi berkata, cadangan tersebut dilontarkan untuk bersama-sama membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani serta merawat pesakit Covid-19 di negara ini yang semakin bertambah.

“Sebagaimana terkandung di dalam Al-Quran. Al-Quran adalah mukjizat dan boleh menjadi penyembuh kepada penyakit. Jadi selain menggunakan perawatan moden, kita juga boleh cuba guna kaedah perubatan secara Islam.

“Pada pandangan kami, dengan kebenaran dan pemantauan ketat oleh KKM pesakit Covid-19 terpilih ini akan diberikan air penawar yang dibacakan ayat-ayat rukyah oleh perawat kami dan dimandikan dengan air bidara untuk tempoh dan pada waktu tertentu. Perbandingan perlu dibuat secara saintifik kesan sebelum, semasa dan selepas rawatan.

“Dengan bantuan pakar-pakar KKM, kajian boleh dijalankan untuk menilai tahap perubahan yang ditunjukkan pesakit terbabit. Ubat tetap pesakit kena makan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu beliau merasmikan Konvokesyen DarusSalam Ijazah Perubatan Ijazah Perubatan Islam kepada 59 graduan Generasi Dua Kelantan.

Hadir sama, Pengerusi DarusSalam Malaysia, Abd Manaf Jusoh dan Ketua Perawat Pusat Rawatan Islam DarusSalam Kelantan, Ibrahim Saad.

Hilmi berkata, mungkin sekali pandang cara ini tidak banyak membantu menangani penularan Covid-19 di negara ini, namun katanya tidak salah mencuba kerana gabungan perubatan Islam dan moden ini ada kalanya dapat merawat sesuatu penyakit yang tidak terjangkau di fikiran.

Lagipun katanya, jika dibenarkan perawat DarusSalam bersedia untuk bekerjasama dengan KKM dan para saintis mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan.

Sementara itu, Abdul Manaf berkata, ketika rawatan DarusSalam mestilah selari dengan SOP semasa dalam memutuskan rangkaian pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pusat Perubatan Islam DarusSalam diasaskan oleh Allahyarham Datuk Ismail Kamus dan kini mempunyai beberapa cawangan pusat rawatan di seluruh negara iaitu Kelantan, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan. –SH

COMMENTS