Adun di Kapar lompat melompat, PH Kapar kembali perkukuh kerjasama

Adun di Kapar lompat melompat, PH Kapar kembali perkukuh kerjasama

Menyedari situasi politik tanahair yang begitu dinamik dan kemelut ketidaktentuan politik negara di bawah kerajaan PN, Pakatan Harapan Parlimen Kapar mengambil langkah awal memperkukuhkan kembali kerjasama ketiga-tiga parti komponen – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kapar, Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Kapar dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Parlimen Kapar.

Kerjasama yang sediakala terjalin sejak 2018 dahulu menyaksikan Pakatan Harapan menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen Kapar, Dun Sementa, Dun Meru dan Dun Selat Klang pada PRU 14 yang lalu. Dengan kemenangan ini juga prestasi pentadbiran dan khidmat masyarakat di Parlimen dan ketiga-tiga DUN ini begitu baik dengan program kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dapat dimanfaatkan sepenuhnya disampaikan kepada rakyat.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari – rentetan gerakan pengkhianatan yang dilakukan dalam Langkah Sheraton menyaksikan Kapar juga menerima tempiasnya yang menyebabkan kesepaduan ini dirobek, apabila 2 ADUN di Selat Klang dan Sementa mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat dengan berpihak kepada kerajaan PN. Begitu juga halnya kepada ADUN Meru yang berpindah dari AMANAH tetapi masih kekal bersama gabungan Pakatan Harapan, sedikit sebanyak memberi kesan dan kejutan kepada ahli dan pimpinan parti AMANAH sendiri.

Pada 1 Februari 2021, satu pertemuan telah diadakan yang diwakili oleh ketua bagi setiap parti dalam Pakatan Harapan bagi memperkukuhkan semula kerjasama. Beberapa cadangan positif dan program-program bersama bakal digerakkan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan dan menyedarkan rakyat tentang kerosakan yang berlaku hasil daripada sebuah kerajaan yang lemah hasil pengkhianatan kepada mandat rakyat di Kapar ini.

Pakatan Harapan Kapar berazam akan terus memperjuangkan agar dikembalikan hak rakyat, dan beriltizam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat Kapar yang begitu terkesan hasil tekanan ekonomi disebabkan pentadbiran kerajaan PN.

Tuan Mohd Saadon Muah (Ketua Keadilan Cabang Kapar)
Tuan Abdul Razak Abdul Rashid (Ketua AMANAH Kawasan Kapar)
Tuan Ng Swee Keong (Pengerusi Cawangan Pekan Kapar)