Adun AMANAH tuntut kerajaan laksana Moratorium Automatik tanpa syarat

Adun AMANAH tuntut kerajaan laksana Moratorium Automatik tanpa syarat

Kerajaan didesak melanjutkan moratorium tanpa syarat kepada selepas pengisytiharaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat dikuatkuasakan.

Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKP buat masa ini banyak menyekat ruang ekonomi rakyat.

Beliau berkata, tempoh moratorium yang dilanjutkan di bawah Pakej Bantuan Khas Permai yang diumumkan Perdana Menteri adalah moratorium bersasar ataupun bersyarat.

“Kesan negatif kepada sektor ekonomi jelas dapat dilihat apatah lagi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan.

“Waktu perniagaan, tahap perkerjaan, urusan harian dan sebagainya banyak menjejaskan ekonomi rakyat. Sudah tiba masanya kerajaan perlu memberikan semula moratorium secara menyeluruh.

“Dalam laporan yang saya terima terdapat pekerja yang terpaksa dipotong gaji kerana majikan perlu mengurangkan pekerja.

“Sekiranya mereka diminta untuk tidak hadir ke tempat ia akan dikira sebagai ‘unpaid leave’ bermakna tidak bergaji.

“Bayangkan sekiranya mereka hanya dikehendaki hadir ke tempat kerja sebanyak 15 hari sebulan, bermakna gaji yang diperolehi hanya separuh bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menegaskan kebajikan rakyat bagi meringankan bebanan hidup perlu diberi keutamaan.

Tambahnya, kerajaan perlu membuat tinjauan lapangan untuk mengenal pasti keadaan rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan PKP.

“Kerajaan jangan hanya memandang pembangunan ekonomi negara sahaja, ekonomi rakyat juga perlu dititik beratkan.

“Kita boleh lihat bagaimana rakyat hari ini ‘struggle’ dalam mengendalikan hidup mereka. Justeru apa-apa sahaja pelaksanaan dari kerajaan perlu dilihat dari pelbagai sudut.

“Dalam pertimbangan ini kerajaan seharusnya memberikan semula moratorium tanpa syarat bagi meringankan bebanan rakyat sekaligus dapat memberi mereka peluang untuk mengimbangi ekonomi mereka terlebih dahulu.

“Golongan pekerja dalam sektor ekonomi tidak rasmi yang memperolehi pendapatan secara harian seperti peniaga gerai di tepi jalan, peniaga pasar pagi, pasar tani dan pasar malam yang menerima upah atau gaji harian adalah golongan yang sangat memerlukan moratorium tanpa syarat ini.

“Kita bimbang jika perkara ini tidak dipertimbangkan, kita akan melihat banyak kereta ditarik balik oleh pihak bank dan juga banyak rumah akan dilelong dalam masa enam bulan akan datang,” katanya lagi.-JK

COMMENTS