Adly mohon pemain industri kembangkan konsep rumah digital meliputi rumah mampu milik

Ketua Menteri Adly Zahari meminta pemain industri perumahan di negeri ini agar tidak menumpukan konsep rumah digital terhadap projek perumahan mewah semata-mata tetapi sebaliknya hendaklah mengembangkan konsep itu meliputi projek rumah mampu milik juga.

Beliau berkata sebagai contoh  projek Rumah Digital Anjung Gapam dilancarkan bulan lepas hasil kerjasama TM One dan Bintang Urusjuta (M) Sdn Bhd, merupakan projek rumah digital pertama di negeri ini memberikan manafaat kepada rakyat pelbagai peringkat melalui teknologi digunakan di rumah itu.

Beliau berkata salah satu manafaat yang diperolehi adalah menerusi penjimatan tenaga apabila guna tenaga di rumah digital itu diurus dengan efektif melalui aplikasi yang dibangunkan selain sambungan internet  kelajuan tinggi,  memberi  lebih banyak pembangunan di kawasan terlibat.

“Kalau kita lihat program rumah digital ini boleh menyokong usaha Melaka Pintar sendiri kerana kita tahu  banyak manafaat yang boleh kita dapati menerusi penggunaan teknologi.

“Konsep rumah digital sekiranya dikembangkan kepada rumah mampu milik merupakan sesuatu  yang baik, mungkin kita perlukan pelaburan awal tetapi untuk jangka masa panjang ia memberi manafaat  kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.

Projek Rumah Digital Anjung Gapam yang terletak di Jasin dekat sini selain membangunkan lebih 2,000 rumah jenis banglo dan turut membangunkan  535 rumah mampu milik dengan kemudahan rumah digital.

Selain sambungan internet kelajuan tinggi, rumah digital itu turut dilengkapi sambungan tersedia seperti penggera keselamatan di pintu masuk serta tingkap, dan kamera litar tertutup untuk setiap lot kediaman.

Adly berkata sebagai sebuah negeri maju ke arah berteknologi tinggi, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan dan memperluas penggunaan jalur lebar dalam kalangan rakyat termasuk memberi penekanan kepada kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Beliau berkata sasaran kerajaan negeri ialah 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk melalui penyediaan infrastruktur komunikasi selular dan talian tetap.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, kerajaan negeri sedang mempergiat usaha menambah baik rangkaian komunikasi dan infrastruktur yang mantap dan mampan melalui penyediaan rangkaian gentian optik yang menyeluruh di seluruh negeri ini,” katanya.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/adly-minta-pemain-industri-kembangkan-konsep-rumah-digital-meliputi-rumah-mampu-milik/