“Adik ipar mula naik tocang sejak tinggal di rumah kami, tiap hari keluar balik malam buta!”

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Seorang wanita sudah tidak dapat menahan sabar dengan sikap dan perbuatan adik iparnya yang sudah menumpang di rumahnya selama empat tahun.

Gemar mencampur urusan privasi bersama suami, adik ipar kepada wanita dikenali sebagai Bella itu juga suka ‘melaporkan’ keadaan di rumah kepada ibu mentuanya.

Tidak mahu membantu dalam urusan membuat kerja rumah, Bella juga difahamkan merasa sangat tidak selesa dengan sikap pengotor yang ditonjolkan adik iparnya.

“Adik ipar mula naik tocang sejak tinggal di rumah kami, tiap hari keluar balik malam buta!”

Empat tahun cuba bersabar, berikut perkongsian Bella yang mendoakan agar adik iparnya cepat bertemu jodoh dan keluar dari rumahnya tidak lama lagi.

“Hidup aku bahagia bersama suami dan anak-anak. Keria pun alhamdulillah, baik sahaja. Tetapi ada satu masalah dalam hidup aku sekarang ini. Adik ipar sudah nak dekat empat tahun menumpang kami. Aku bukan apa, nak juga privasi dalam rumah tangga. Ini tak, semua aku buat dalam rumah dilaporkan pada ibu mentua.

“Aku beli baju mahal, marah dengan anak ke, atau gaduh dengan suami, semua dia nak laporkan. Akhirnya, aku yang nampak jahat. Padahal baju dengan tudung mahal itu aku beli pakai duit sendiri. Kenapa dia nak menggelabah. Selepas itu, hampir empat dia tumpang, sekalipun tak pernah nak tolong aku di dapur. Jenguk pun tak.

“Padahal dapur dengan bilik adik ipar dekat sahaja. Takkan tak dengar bunyi ketung ketang, ketung ketang? Tahu-tahu bila aku dah habis masak, pandai pula mencedok makan senyap-senyap dalam bilik. Mana tak sakit hati aku. Umur sudah 24 tahun. Tetapi masak nasi pun gagal. Orang suruh duduk dapur pun tak nak tolong.

“Adik ipar ini satu apa pun tak tahu masak. Dia punya pemalas Masya-Allah. Kalau adik ipar makan senyap-senyap dalam bilik, pinggan mangkuk dia akan biar semalaman tak bawa keluar. Pagi keesokan harinya dia akan letak dalam sink. Kalau rajin, basuh. Kalau tak, suami aku balik kerja tengah hari esok, dia yang basuh.

“Yang paling buat aku sakit hati, setiap kali sedara mara datang adik ipar tak keluar langsung daripada bilik dia. Sekurangnya kalau kau malu sekalipun, keluar sahajalah salam-salam dan tunjuk muka selepas itu masuklah bilik balik. Aku jadi malu dekat saudara sedara mara aku. Dalam hati fikir, sampai bilalah adik ipar nak duduk sekali.

“Dia tak terfikir ke nak duduk dengan kawan-kawan, berdikari sendiri. Semaklah. Dalam rumah aku, pegang batang penyapu pun tidak. Adik ipar akan kemas bilik dia sahaja. Sudahlah menumpang, nak tolong aku pun tak boleh. Sekurangnya berbudi bahasalah sedikit. Barang basah dalam rumah pun haram dia nak tolong beli.

“Aku tak minta dia tolong beli barang dapur banyak. Sekurangnya, kalau nampak peti kosong itu belilah sayur ke sedikit. Kadang-kadang hujung bulan aku dengan suami tak sempat juga nak beli barang. Itu pun untuk dia makan juga. Sekarang ini bila ada teman lelaki, meligat sahaja kerjanya.

“Hari itu, adik ipar ada bawa balik teman lelaki dia ke rumah mak mentua. Kononnya nak kenal-kenal kan. Eh sekarang bila balik Kuala Lumpur suka keluar balik malam. Kadang 10 malam, 12 malam atau pukul 2 pagi. Ada satu hari, adik ipar cakap nak ambil makanan dekat bawah, teman lelaki dia hantar.

“Turun pukul 10, selepas itu naik rumah pukul 12.30 tengah malam. Kau rasa? Ambil makanan ke, kau buat apa? Aku sudah tidak boleh berfikiran positif. Sebab kalau dia keluar makan, sampai pukul 12 malam sekarang. Pastu bagi alasan jalan sesaklah. Adik ipar ingat kami ini budak darjah satu ke dia nak kelentong?

“Bukan apa, takut jadi apa-apa dekat dia contohnya kemalangan atau kena tangkap khalwat. Macam mana suami aku nak jawab dengan mak pak dia? Sebab adik ipar menumpang rumah kami. Jadi tanggungjawab suami aku kalau jadi apa-apa dekat dia. Bukan aku cemburu pun kalau dia keluar, aku tak kisah.

“Tetapi, baliklah awal. Ini tidak, kalau tak balik jam 12 malam ke atas, tak sah. Teman lelaki dia katanya budak tahfiz hafal 13 juzuk al-Quran. Tetapi bawa anak dara orang keluar malam-malam. Takkan tak tahu benda halal haram? Hari itu, dia cakap tahun depan nak kahwin. Dalam hati aku terfikir kenapalah dia tak kahwin awal-awal.

“Lagi cepat sedikit adik ipar keluar daripada rumah aku. Dia ini tiada rasa bersalah langsung ke dah lama duduk dengan orang? Tak terfikir ke orang nak privasi juga. Muka sahaja cantik, tetapi perangai Nauzubillah. Adik ipar bekerja di kedai jual barang-barang budak. Bukannya penganggur.

“Aku harap sangat adik ipar cepat keluar dari rumah. Datang rumah, tidak dijemput. Dia nak keluar pun aku tak halau. Kadang-kadang hidup aku tertekan sebab fikirkan dia sahaja. Suami pula tak bertegas dengan adik dia, lagilah naik tocang. Sekarang tengah mabuk bercinta sampai keluar setiap malam balik lewat.

“Aku harap dia sedar dirilah. Dulu aku sayang, tetapi sekarang bila tengok muka jadi benci. Tetapi itulah tak boleh tunjuk. Nanti dia laporkan pada ibu mentua pula. Aku juga yang jadi menantu dibenci.” Kongsi Bella menerusi satu perkongsian di laman luahan atas talian.

Baca juga:“Lepas suami meninggal, ada orang datang sampai 5-6 orang, aku ingatkan orang datang banci rupanya tok ketua nak masuk minang”